Kemelut politik Kedah yang masuk hari ke 14 menyaksikan usaha najib dan konco-konconya terus menemui jalan buntu untuk menyingkirkan MB Mukhriz Mahathir di Kedah.
Jika dalam pusingan pertama, konflik seolah-olah mudah diselesaikan dengan kononnya 19 Adun BN menolak MB namun selepas dua minggu Jemaah Pemangku Sultan Kedah masih tidak membenarkan MB baharu mengangkat sumpah.
Bagi ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, kegagalan MB baharu mengangkat sumpah menandakan tidak ada kata sepakat dikeluarkan oleh Adun-Adun BN yang menemui Jemaah tersebut kelmarin.
“Persoalannya apakah mereka berkata benar di hadapan Jemaah Pemangku Sultan yang mereka hilang kepercayaan kepada Mukhriz tanpa dipaksa oleh Najib atau mana-mana pihak?
“Bukankah sebelum ini ada sebahagian Adun Umno membuat kenyataan tak bersetuju dengan tindakan menggulingkan Mukhriz yang dilancarkan oleh Putrajaya.
“Ada di kalangan mereka yang buat pengakuan terbuka mereka tak tahu tentang sidang media pada 20 Januari seolah-seolahnya mereka diperangkap oleh komplot untuk menggulingkan Mukhriz.
“Bukankah ada Adun Umno yang membuat pengakuan diburu hampir jatuh laut untuk mendapatkan sesuatu?
“Bukankah ada Adun yang menceritakan pada kawan saya yang dia dipanggil oleh Najib dan memaksa untuk tanda tangan akuan bersumpah? Bukankah Kenyataan Adun dari MCA yang menyatakan tidak wajar untuk menggulingkan Mukhriz?
“Ini menunjukan jika mereka benar bebas menentukan pendirian sudah pasti Mukhriz kekal dan Najib tewas petang semalam,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tegas Mahfuz, seandainya BN cukup majoriti 19 Adun maka Jemaah Pemangku Sultan tidak perlu memanggil Adun pembangkang untuk bertanyakan arah sokongan mereka, sama ada menerima Mukhriz atau pun tidak.
“Dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah memanggil Adun pembangkang mengadap pada 2 Februari lalu, seolah-olah Najib tidak mendapat angka 19 Adun yang menyokongnya.
“Lojiknya jika Jemaah Pemangku Sultan mendapat perakuan 19 Adun, tidak ada lagi keperluan untuk memanggil adun pembangkang.
“Adakah dengan memanggil Adun pembangkang menunjukan bilangan pembangkang 15, Mukhriz 3 dan Najib 18.
“Adakah ini bermakna harapan hanya ada pada pembangkang untuk kekalkan Mukhriz sebagai MB dan tewaskan Najib?.
“Walaupun jumlahnya sama banyak 18-18 tiada masaalah untuk kerajaan ini kekal dengan Mukhriz sebagai MB asalkan Najib dan kuncunya kalah.Menghalang Mukhriz disingkir bermakna menewaskan Najib,” kata Mahfuz lagi.