Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan penyingkirannya selaku menteri besar Kedah berpunca daripada kritikan lantangnya terhadap skandal membabitkan perdana menteri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion.
Dalam pengumuman peletakan jawatannya hari ini, Mukhriz berkata, isu-isu yang dibangkitkan tersebut merupakan alasan sebenar beliau disingkirkan.
“Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya ialah kerana kritikan yang saya suarakan terhadap perdana menteri seperti yang beliau sendiri akui.
“Kritikan yang dimaksudkan adalah mengenai skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion dan meningkatnya bebanan sara hidup rakyat akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan),” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman pagi ini.