Seminggu selepas semakan Bajet 2016, tidak banyak yang berubah dalam kalangan rakyat marhaen. Rata-rata penduduk bandar besar dan sub bandar masih ‘sakit’ untuk meneruskan kehidupan biar pun kerajaan membanyakkan tunai di tangan mereka dengan mengurangkan caruman KWSP daripada 11 peratus ke 8 peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Perak, Nizar Jamaluddin dari parti Amanah berkata penstrukturan Belanjawan 2016 tidak banyak membantu golongan yang bergaji rendah.
“3% potongan wang caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan bergaji rendah hanya mampu memberikan seseorang yang bergaji RM1,000 tambahan sebanyak RM30 sebulan.
“Kerajaan sepatutnya melaksanakan gaji minima yang lebih tinggi dengan menaikkan dari paras RM1,000 sebulan ke RM1,500 sebulan untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah yang kini sedang menghadapi kekangan kewangan yang amat membebankan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Selain dari itu, katanya, harga barang keperluan asas terutamanya semua jenis makanan haruslah dikecualikan dari Cukai Barangan Dan Perkhidmatan.