Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Melaka yakin perjuangan mereka semakin diterima rakyat di negeri kubu kuat Umno itu.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Melaka, Sofi Wahab berkata, parti itu kini telah berjaya menubuhkan bahagian-bahagian di 6 kawasan Parlimen sejak Ogos tahun lalu.
Di kawasan Parlimen Bukit Katil, katanya, 300 orang telah menjadi ahli.
“Sambutan amat baik di kalangan masyarakat Cina. 90% sokongan diperolehi dari masyarakat itu dan media Cina selalu menghantar wakil untuk menghadiri sidang media yang diadakan oleh kami.
“Namun demikian, masyarakat Melayu di Melaka tidak berminat terhadap perkembangan politik atau pun ekonomi. Oleh itu, mereka tidak berapa tahu kewujudan parti Amanah,” kata Sofi menerangkan cabaran parti yang baru enam bulan dilancarkan itu kepada Suara pakatan daily.
Katanya lagi, perkara seterusnya yang perlu dilakukan adalah memperkukuhkan organisasi dalaman parti sebelum mengadakan program menarik sokongan rakyat secara meluas.
“Untuk memperkenalkan parti Amanah, kami akan fokus kepada kenaikan harga barang dan kos sara hidup bagi menarik perhatian masyarakat Melayu,” ujar beliau.
Ditanya mengenai peluang Amanah memenangi kerusi DUN atau pun Parlimen dalam Pilihanraya Umum Ke-14 kelak, Sofi berkata, beliau yakin Amanah berpeluang untuk memenangi satu atau pun dua kerusi.
“Yang penting, pertembungan tiga penjuru harus dielakkan. Ini bererti kami akan berunding dengan PKR, DAP dan juga PAS untuk meletakkan calon yang terbaik dan yang mampu menang, walaupun calon itu bukan dari parti Amanah,” tambah beliau.