Masyarakat Melayu perlu lebih prihatin mengenai kegawatan ekonomi dan politik yang melanda negara agar tidak lagi tersilap memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, kata sebuah NGO pro pembaharuan.
“Masyarakat Melayu perlu ada kesedaran mengenai ciri-ciri unik senario politik negara.
“Mereka perlu ambil tahu perihal situasi ekonomi dan politik dan yang penting sekali mereka mesti sedar bahawa semua bangsa di Malaysia hanya mahu apa yang baik untuk kesejahteraan rakyat dan keamanan negara,” kata seorang penganalisis politik dari sebuah NGO Cina apabila diminta pendapat beliau mengenai senario politik negara pada masa terkini.
Penganalisis politik yang enggan namanya disiarkan itu mengharapkan gabungan baharu politik Pakatan Harapan mampu berkempen secara strategik di atas isu-isu yang membebankan rakyat. Kata beliau, kegagalan Pakatan menangani persepsi rakyat akan mengakibatkan undi tidak memihak kepada mereka.
“Pakatan Harapan (PH) wajib memberi tumpuan kepada dua isu utama iaitu: harga barang naik dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Sudah setahun Anwar Ibrahim dipenjarakan tetapi rakyat kelihatan seolah-olah tiada hala tuju. Adakah keadaan akan dibiarkan begini oleh Pakatan?” soal beliau.
Dalam pada itu, seorang usahawan tempatan pula berpendapat negara dan pihak pembangkang seolah-olah kehilangan hala tuju dalam beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan rakyat “give up atau menyerah kalah” dengan situasi dalam negara. Beliau berharap Pakatan akan segera mengorak langkah menjadi aktif semula dalam usaha meraih sokongan rakyat.
“Kerajaan kita harus sedar bahawa negara jiran contohnya Indonesia telah mengambil langkah yang besar dan pro-aktif untuk menarik pelabur asing.
“Namun bagi negara ini, ramai pelabur asing berasa waspada disebabkan persepsi negatif skandal kewangan melibatkan pemimpin BN,” katanya.