Parlimen United Kingdom (UK) menggesa pihak berkuasa di Malaysia untuk membebaskan bekas Ketua Pembangkang negara itu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin lain dan aktivis-aktivis yang ditahan di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain untuk mereka meneruskan hak-hak politik dan sivil yang sah.
“Pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan perlu melepaskan Anwar Ibrahim, dan juga memberikan hak dia untuk mengakses penjagaan perubatan yang sesuai terhadap kesakitan yang dialaminya kini.
“Ini termasuk pakar perubatan mengikut pilihannya, walaupun itu memerlukan perjalanan ke luar negara, dan akses kepada peguamnya; dan menggesa Kerajaan untuk membuat representasi itu kepada rakan-rakan di Malaysia.
“Malah ahli-ahli pimpinan lain dan beberapa aktivis di Malaysia yang dikenakan tindakan undang-undang, di bawah Akta Hasutan dan undang-undang lain, perlu diberikan hak untuk menjalankan hak-hak politik dan sivil yang sah,” tegas parlimen UK.
Katanya, Parlimen tersebut mengambil berat tentang saudara Anwar Ibrahim, yang kini sudah setahun menjalani hukuman penjara daripada lima tahun penjara berhubung kes fitnahnya itu.
Dewan itu juga melahirkan rasa kesal kerana saudara Anwar Ibrahim menerima hukuman tersebut ekoran daripada tuduhan yang bermotifkan politik oleh kerajaan Malaysia, dan dengan tindakan itu, ia telah melemahkan keyakinan pihak lain terhadap sistem demokrasi di negara berkenaan.
” Dewan ini amat mengambil berat tentang pemenjaraan yang berterusan terhadap pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, yang kini telah menjalani hukuman setahun daripada penjara lima tahun setelah disabitkan dengan kes fitnah terhadapnya.
“Hukuman penjaranya itu berdasarkan atas tuduhan bermotifkan politik, dimana ia telah melemahkan demokrasi dan keyakinan terhadap sistem keadilan Malaysia,” katanya.