Tidak perlu bahasa Inggeris untuk menghasilkan sains bertaraf dunia, kata seorang saintis ulung Malaysia Prof Wan Ramli Wan Daud, menyokong gabungan yang menyeru kepada pemansuhan program bahasa Inggeris sukarela baru kerajaan, Program Dwi Bahasa (DLP).
Wan Ramli berkata, ini kerana program berkenaan akan mengakibatkan pelajar belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris hanya untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam bahasa itu.
Ini tindakan yang salah kerana pelajar perlu diajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, kata Wan Ramli dari fakulti kejuruteraan dan alam bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Ia juga satu mitos dengan mengatakan anda perlukan bahasa Inggeris untuk belajar dan menghasilkan sains yang baik kerana di UKM, penyelidikan dan kertas kami dibuat dalam bahasa Malaysia,” kata Wan Ramli yang merupakan seorang profesor kejuruteraan kimia dan juga pengarah pengasas institut sel bahan apinya.
Wan Ramli dan 2 saintis Malaysia yang lain dinamakan sebagai antara 72 minda saintifik berpengaruh 2015 oleh agensi pengindeksan akademik terkenal dunia Thomson-Reuters, yang berpangkalan di New York.
Pengiktirafan beliau kepada usaha memansuhkan DLP itu dilihat ketika penyokong program itu berhujah penguasaan bahasa Inggeris adalah perlu bagi penyelidik Malaysia mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.
Kumpulan yang pro DLP, Parent Action Group for Education (PAGE) berkata bahasa Inggeris ialah bahasa perantara untuk STEMM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Perubatan).
Wan Ramli mengakui penyelidik UKM perlu menulis semula kertas mereka dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan ia diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, langkah yang perlu dibuat supaya pengajian mereka diiktiraf.
“Tetapi, ini semata-mata terjemahan. Bahasa Inggeris tidak menambah nilai kepada penyelidikan yang dilakukan.
“Anda boleh belajar dan mendapatkan kepakaran dalam sains melalui bahasa Malaysia,” kata Wan Ramli kepada The Malaysian Insider.
DLP diperkenalkan dalam Bajet 2016 ialah sebuah program sukarela yang dijalankan di 300 sekolah di seluruh negara di mana pelajar tertentu diajar 4 mata pelajaran dalam bahasa Inggeris.
Penyertaannya ketika ini optional dan ia mesti mendapat persetujuan ibu bapa, guru dan pelajar.
Ia dijalankan bagi kelas Tahun Satu, Tahun Empat dan Tingkatan Satu di sekolah terpilih. Pelajar diajar 4 mata pelajaran dalam bahasa Inggeris, iaitu Matematik, Sains, Reka Bentuk Kreatif dan Teknologi Maklumat.
Wan Ramli berkata MansuhDLP tidak menentang meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah tetapi pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
MansuhDLP diterajui Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 bagi menghentikan dasar sebelum ini, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
MansuhDLP percaya DLP akhirnya akan turut dijalankan di sekolah selain 300 yang terlibat di peringkat awal itu, dan akan menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
“Saya mengajar dalam bahasa Malaysia, pelajar Sarjana dan Phd saya menjalankan penyelidikan dalam bahasa Melayu dan juga menulis penemuan mereka dalam bahasa Melayu,” kata Wan Ramli bagi menggambarkan mengapa BM bukan penghalang.
“Banyak sains di dunia dihasilkan dalam bahasa selain Inggeris, seperti Jerman dan Perancis. Kebanyakan penemuan dalam fizik kuantum dilakukan di Jerman.
“Sebab kita perlukan bahasa Inggeris ialah, jurnal saintifik utama ketika ini dimiliki negara berbahasa Inggeris.”