Bekas Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohammad baru-baru ini mempersoalkan dasar PAS yang telah berubah kerana meletakkan calon wanita Normala Sudirman di DUN Tenang. Dakwanya, PAS selama ini mengharamkan calon wanita bertanding tetapi memberi kelonggaran di Tenang.
Mengulas kenyataan itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa terkejut terhadap tahap daya ingatan Dr Mahathir. Baginya, tidak mungkin Dr Mahathir tidak tahu atau terlupa pada pilihanraya 2008 lalu PAS membariskan lebih sepuluh orang calon wanita, begitu juga pada pilihan raya 2004. Malah pada 1969 lagi calon wanita PAS telah menyertai pilihanraya dan memenangi kerusi.
“Saya amat terkejut seorang yang hebat seperti Dr Mahathir tiba-tiba hilang ingatan dan terlupa sejarah PAS. PAS juga tidak pernah kata calon wanita haram bertanding. Buktinya calon PAS Khadijah Sidek pernah menang dalam pilihan raya umum 1969.
“Selepas itu, banyak calon-calon wanita diletakkan dalam pilihanraya umum. Pada 2008 beberapa orang calon wanita PAS telah menang seperti Dr Mariah Mahmud di DUN Kota Raja, Halimah Ali Exco Selangor, Dr Lo Lo ahli parlimen Titiwangsa dan sebagainya.
“Sebenarnya Umno yang patut bersedih kerana sayap wanita parti itu bersungguh-sungguh melobi Ketua Wanita Umno Johor menjadi calon namun akhirnya hajat mereka tidak kesampaian,”sinis Mahfuz.
Menurut Mahfuz lagi, beliau yakin dengan rekod cemerlang Normala Sudirman sebagai guru dan aktif dalam NGO akan mampu meraih undi dan memberi saingan kepada BN. Bagaimanapun PAS tidak mengutamakan sasaran meraih kemenangan kerana sedar pelbagai taktik kotor yang akan digunakan dalam PRK itu.
“Pemimpin Umno mengumumkan ingin undi majoriti melebihi 5,000 undi. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku. Bagi saya, sekiranya PAS berjaya mengekalkan jumlah undi yang diperolehinya pada pilihanraya 2008 pun sudah cukup dan menjadi pukulan kepada BN.
“Maknanya Umno tidak berjaya untuk meyakinkan penyokong kita memihak kepada mereka walaupun kita diserang hebat setiap hari.
“Saya yakin dengan kewibawaan Normala berdasarkan pandangan masyarakat. Beliau masih muda, terpelajar, punya keyakinan diri dan sanggup meletak jawatan sebagai guru demi memberi sepenuh tumpuan kepada rakyat. Normala juga pernah mendapat anugerah guru cemerlang dan aktif dalam NGO serta persatuan-persatuan penduduk setempat
“Pada saya, pengundi muda yang berpengetahuan akan mampu membuat pilihan yang bijak. Kumpulan ini kecil namun sering menjadi penentu kepada kemenangan di sesuatu kawasan,”jelasnya lagi.