Walaupun mendapat bantahan majoriti rakyat, kerajaan terus berdegil menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh bagi menerima 1.5 juta pekerja negara itu.
Perjanjian bagi tempoh tiga tahun yang dimeterai di Dhaka semalam bakal menyaksikan warga Bangladesh di negara ini akan bertambah melebihi jumlah keseluruhan penduduk negeri Melaka dan Perlis.
Mengikut rekod rasmi kerajaan tahun lalu, penduduk Perlis berjumlah 246,000 orang manakala Melaka seramai 872,900 orang dengan jumlah kedua-duanya mencecah 1.1 juta orang.
Menerusi perjanjian baharu tersebut, penghantaran pekerja turut meliputi tenaga kerja wanita sekaligus mengundang kebimbangan pertambahan warganegara itu di Malaysia kesan daripada perkahwinan sesama mereka.
Mekanisme ‘Kerajaan kepada Kerajaan’ (G-to-G) itu juga dilaporkan akan menggunakan sepenuhnya sistem dalam talian serta membolehkan pekerja dari Bangladesh terlibat dalam sektor pembinaan, perkilangan, pertanian dan perkhidmatan selain perladangan.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan permohonan pekerja asing perlu dilakukan secara dalam talian dan akan diluluskan dalam tempoh hanya 48 jam.