Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Perdana menteri Malaysia Najib Razak agar segera melepaskan jawatan selepas salah seorang ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan panel itu meminta SPRM menyerahkan semula dua kertas siasatan membabitkan SRC International Sdn Bhd kepada Peguam Negara kerana terdapat bukti kukuh untuk mendakwa Najib.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Dr Afif Bahardin memetik laporan portal The Malaysian Insider berkata, Najib sebagai Menteri Kewangan sepatutnya berundur dan tidak sepatutnya membiarkan konflik kepentingan berlaku dalam isu siasatan yang melibatkan syarikat SRC, di bawah Kementerian Kewangan.
“Angkatan Muda Keadilan berpandangan PPO SPRM wajar mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini agar rakyat mengetahui mengenai skandal penyelewengan terbesar negara yang melibatkan pimpinan tertinggi Barisan Nasional. Peranan PPO SPRM pastinya adalah untuk menjaga kepentingan negara dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi kerajaan negara ini. PPO SPRM juga bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara ini dari terus terjerumus ke dalam krisis ekonomi, keyakinan dan kepimpinan yang semakin parah kini.
“Angkatan Muda Keadilan juga mengulangi pendirian untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Hakikat bahawa SRC International adalah sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, maka Datuk Seri Najib Razak wajib untuk meletakkan jawatan bagi tidak menimbulkan konflik kepentingan dalam isu siasatan dan pendakwaan kes SRC International.
“Angkatan Muda Keadilan juga mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk melaksanakan tanggungjawab beliau secara profesional dan memastikan skandal penyelewengan SRC International, 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 billion di bawa ke muka pengadilan. Hanya dengan pendakwaan dan perbicaraan yang adil dan telus mampu menyelesaikan skandal ini,” kata Afif dalam satu kenyataan.