Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata rakyat harus bangkit mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk mengambil-alih tampuk kepimpinan negara yang lemah.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mereka menyahut seruan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak untuk pelaksanaan reformasi di negara ini.
“Saya mengalu-alukan kenyataan tegas YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada hari ini mendesak supaya berlaku reformasi dalam institusi negara.
“Pendirian itu selaras dengan perjuangan PKR, parti-parti pembangkang dan masyarakat madani selama ini.
“Perjuangan ini adalah perjuangan reformasi yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri besar Selangor itu berkata, rakyat seharusnya bangkit mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk mengambil-alih tampuk kepimpinan negara yang lemah.
Katanya sudah sampai masa untuk rakyat berhenti bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi manusia.
“Mereka tidak wajar menderita dengan ketidakadilan yang berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.
“Rakyat berhak mendapat kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Sejurus selepas penggantungannya sebagai timbalan presiden Umno Muhyiddin dalam kenyataannya menyeru reformasi institusi dilakukan di Malaysia.
Menurut Azmin seruan perubahan itu bukan hanya sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang gagal memenuhi aspirasi rakyat.
Pada masa sama beliau berkata pelbagai isu seperti skandal kewangan, kegagalan institusi negara termasuk sekatan ke atas hak dan kebebasan rakyat harus dijadikan pendorong untuk bersatu demi melaksanakan reformasi.
“Ini perlu dijadikan kenyataan demi mengembalikan negara di atas jalan demokrasi yang tulen.
“Kita masih belum terlambat untuk melakukan perubahan. Seperti mana Muhyiddin, hasrat dan cita-cita rakyat juga untuk merealisasikan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan jujur,” kata timbalan presiden PKR itu.