PAS kini sedang berusaha memenangi pengundi Cina selepas berpisah dengan DAP yang memberi kesan kepada sokongan kaum Cina kepada parti Islam itu.
Parti Islam itu kini memulakan langkahnya sendiri untuk mendekati masyarakat bukan Islam khasnya Cina dalam usaha mendapatkan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), kata penganalisis.
Mohamad Hisomuddin Bakar percaya PAS sedar undi masyarakat Cina menyebabkan mereka menang di banyak kerusi pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.
“Jadi PAS terpaksa kaunter sokongan undi Cina secara bersendirian selepas berpisah dengan DAP sebelum ini,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu kepada The Malaysian Insider.
Selepas berpisah dengan bekas sekutu DAP tahun lepas disebabkan isu hudud, PAS mengadakan pelbagai program bersama bukan Islam terutamanya masyarakat Cina dengan menjanjikan hak mereka tidak akan dinafikan sekiranya parti Islam itu menang pada PRU14.
Dalam dialog di Kuantan baru-baru ini, Hadi sendiri memberi jaminan tidak akan mengubah Perlembagaan jika PAS diberi kesempatan memerintah Malaysia.
Katanya, PAS hanya akan meminda bahagian yang perlu sahaja untuk memenuhi maksud Islam adalah sebagai cara hidup (Ad-Deen) dan bukan agama semata-mata.
Beliau juga memberi jaminan PAS tidak akan menutup sekolah Cina, “malah akan menaik tarafnya. Di Kuantan, isu sekolah Cina merupakan di antara isu penting.
Bagaimanapun Hisomuddin berkata, usaha PAS untuk memenangi undi Cina tidak akan berjaya.
“Ini bagi saya usaha yang sia-sia sahaja.
“Jadi untuk membolehkan PAS mendapat sokongan pengundi Cina semula, PAS perlu bersama blok yang kini menyokong DAP, bukan bergerak sendiri-sendiri,” kata Hisomuddin.
Menurut Hisomuddin, menjadi trend pengundi Cina sejak dari dahulu lagi mereka mengundi secara blok dari peringkat nasional, negeri dan kawasan bukannya berbeza-beza mengikut lokaliti.
Katanya, PAS mendapat sokongan pengundi Cina pada PRU13 lalu apabila bersama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.
Purata undi Cina untuk PAS naik mendadak daripada 59.3% pada PRU12 (2008) kepada 73.4% pada PRU13 (2013) ekoran sokongan Cina kepada Pakatan Rakyat.
“Contohnya di Parlimen Bukit Gantang.
“PAS kalah di 10 peti undi Melayu kepada calon Umno tetapi dengan sokongan kuat pengundi Cina di 3 peti undi sahaja, PAS berjaya menimbus kekalahan itu dan menang di Bukit Gantang,” kata Hisomuddin.
Katanya, senario yang sama turut berlaku di Selangor.
Undi Cina kepada PAS melonjak hampir 30% pada PRU13 daripada 42.9% pada pilihan raya 2008 kepada 70.2% pada 2013.
Ini menyebabkan PAS menambahkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 8 pada PRU12 kepada 15 pada PRU13.
Di samping itu PAS berjaya kekal menang di Parlimen Kota Raja, Hulu Langat, Sepang dan Shah Alam di Selangor melalui sokongan undi Cina, katanya.
Bagaimanapun, Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) Profesor Datuk Dr Redzuan Othman berkata, walaupun sudah berpisah dengan DAP, sokongan kepada PAS di kalangan masyarakat Cina tidak terhakis sepenuhnya sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
“Ikut kajian kami, ada kira-kira 18% pengundi Cina di Selangor masih menyokong PAS, bukan habis sepenuhnya,” kata Redzuan.
Akan tetapi beliau berkata, jumlah ini memang kecil berbanding 70.3% sokongan menjelang PRU13 lalu.
PAS berpisah secara rasmi dengan DAP selepas Muktamar PAS ke 66 di Kuala Selangor pada Jun tahun lalu menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP