Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno akan mempunyai kesan mendalam terhadap politik negara dan rakyat Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk berubah kata PKR, sebuah parti yang ditubuhkan untuk menjatuhkan bekas perdana menteri itu ketika beliau masih berkuasa.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah “drastik dan berani” Dr Mahathir itu, yang memainkan peranan penting membawa Umno ke puncak kuasa dan kejayaan akan mempunyai kesan jangka panjang terhadap landskap politik Malaysia.
“Kita sedang menyaksikan perubahan politik Malaysia. Bahagian dinding yang dibina bertahun-tahun lamanya melalui politik akhirnya runtuh.
“Pengumuman Dr Mahathir hari ini bermakna beliau akhirnya berpaling daripada partinya.
“Kesan daripada langkah drastik tetapi berani belum difahami sepenuhnya. Bagaimanapun, tidak ada keraguan ia akan menjadi lebih luas dan memberi kesan jangka panjang pada landskap politik kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, terpaksa membayar harga mahal bagi dakwaan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa pentadbiran, kini perlu mengambil peluang membawa perubahan.
“Semua institusi demokrasi Perlembagaan kita dilanggar ke tahap tidak pernah berlaku sebelum ini dan ibu segala skandal kewangan dengan pelaku terlepas daripada hukuman.
“Prinsip asas kepada urus tadbir seperti akauntabiliti dan ketelusan menjadi tunggang terbalik. Tidak pernah dalam sejarah negara kita begitu banyak kerosakan diakibatkan oleh pihak yang sedikit.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, kaum, bangsa dan agama bersama-sama terutama bagi semua rakyat yang prihatin agar mengambil peluang ini dan membawa perubahan sebenar dan berkesan,” katanya.