Rakyat harus bertindak bijak menyingkirkan bukan sahaja Najib Razak tetapi Umno yang sudah gagal menjaga rakyat terutama orang kampung, ujar bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Menurutnya, Umno sudah tidak lagi mengutamakan kepentingan masyarakat di luar bandar yang pada masa ini berdepan masalah kemelesetan ekonomi.
“Mereka sebenarnya lebih mementingkan kepentingan diri sendiri, kekayaan, diri sendiri dan tidak berminat untuk berjumpa orang kampung, bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan dan kebajikan orang kampung,” kata beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Berkongsikan hasil pemerhatian dalam lawatannya di Kampung Aur, Sik, Kedah pada pertengahan Februari lalu, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, penduduk kampung sedang mengalami kejatuhan harga getah.
“Orang kampung di sini hidup seolah-olah terbiar. Mereka duduk di kampung ini di bawah skim Felcra, di bawah Kementerian Luar Bandar. Mereka potong getah dan dapat hasil yang rendah, 80 sen sekilo.
“Dapatlah beberapa ringgit untuk menyara hidup satu keluarga. Tidak ada pendapatan sampingan. Kemiskinan jelas nampak di merata-rata,” jelasnya dalam lawatan bersama-sama pemimpin PKR antaranya Rafizi Ramli, Saifuddin Abdullah dan Saifuddin Nasution.
Beliau menyifatkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak dahulu lebih mengambil berat kebajikan masyarakat luar bandar berbeza pentadbiran Umno-BN pada masa ini.
“Apa Umno buat? Cukup bagi BR1M (Bantauan Rakyat 1Malaysia) RM500. Orang kampung bukan mahu bantuan duit macam itu. Mereka mahu wujudkan peluang-peluang untuk hidup.
“Dulu masa zaman Allahyarham Tun Razak, beliau datang sendiri ke kampung-kampung, bertanya khabar, kaji masalah orang kampung. Orang kampung tak bertanah, beliau wujudkan Felda.
“Beri tanah pada orang kampung. Wujudkan Risda dan Felcra untuk bantu orang kampung. Macam-macam skim diwujudkan bantu dan latih anak-anak orang kampung,” ujarnya yang berperanan memperkasa Biro Penerangan dan Komunikasi PKR.
Mengulas keputusan Tun Mahathir untuk keluar dari Umno kelmarin selepas didapati Umno bukan parti yang berjuang seperti masa lalu, beliau berkata, tumpuan pemimpin Umno lebih kepada mencari projek yang menguntungkan sehingga tidak mempedulikan kepentingan masyarakat desa.
“Sekarang orang Umno dah tak masuk kampung. Mereka sibuk cari projek di bandar. Projek besar. Projek kecil. Orang kampung ketinggalan. Orang kampung diabaikan.
“Kini Dr Mahathir sudah meninggalkan Umno. Beliau kata Umno kini cuma jaga Najib. Taat pada Najib. Jaga kepentingan Najib,” ujarnya yang mengumumkan keluar dari Umno sebelum menyertai Pas pada 2013.
Sehubungan itu, ujarnya, suatu gerakan terdiri daripada ahli-ahli Umno yang kecewa dengan pimpinan Umno dan Najib bersama-sama dengan parti-parti pembangkang PKR, Amanah dan DAP serta NGO-NGO sedang bekerjasama bagi mencari jalan untuk memulihkan semula keadaan yang buruk ini.
“Najib dianggap beban atau liabiliti kepada negara. Umno cuma berminat mempertahankan Najib. Kalau begitu Najib dan Umno sudah tidak releven lagi kepada negara.
“Di sini kita terasa kerinduan dan kemesraan yang ada pada Anwar Ibrahim mampu mengembalikan semula imej negara yang tercalar untuk terus maju di masa hadapan. Kita akan pulih semula.
“Saya terasa bahawa rakyat sudah amat bosan dengan Najib dan Umno. Masa untuk berubah sebenarnya telah datang. Rakyat sudah muak dan bosan dengan kepimpinan yang ada pada hari ini,” tambahnya lagi.