Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai satu gerakan menentang perdana menteri, selepas menghabiskan masa sejak beberapa hari lalu bertemu ahli politik dan aktivis dalam langkah akhir memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak agar meletakkan jawatan, kata sumber.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, bekas perdana menteri berumur 90 tahun itu sudah bertemu semua individu ini secara berasingan untuk meningkatkan sokongan kepada “kumpulan tegar” atau “core group” yang bakal ditubuhkan bagi menggulingkan Najib.
Kecewa dengan Umno yang kini digelarnya “parti Najib”, Dr Mahathir mengumumkan keluar parti pada Isnin dan juga akan menubuhkan kumpulan tegar.
Difahamkan, Dr Mahathir akan mengetuai 40 pemimpin menandatangani deklarasi pada Jumaat, menuntut Najib yang menjadi perdana menteri sejak April 2009 disingkirkan.
Secara simboliknya deklarasi itu akan dibentangkan kepada wakil setiap kumpulan disertai dengan sidang media.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun itu sudah dinasihatkan agar bertindak mengikut undang-undang dalam apa sahaja tindakan bakal dilakukan kumpulannya bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.
Beliau berkata, Dr Mahathir sudah diberi amaran tindakan tegas pasti diambil Putrajaya jika mereka bertindak membelakangkan undang-undang.
“Kami sudah menasihatkan Dr Mahathir untuk berhati-hati kerana kerajaan akan mencari pelung untuk memecahkan kumpulan dan gerakan itu,” katanya.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan timbalannya, Salahudin Ayub sudah mengesahkan akan menandatangani deklarasi itu.
Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa yang melancarkan kempen “Selamatkan Malaysia” di Kulai, Johor minggu lalu turut mengesahkan penyertaannya.
“Saya akan turut datang Jumaat ini,” kata Husam dan menambah, PAS masih belum membuat sebarang keputusan rasmi sama ada akan menyertainya atau tidak.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut diundang tetapi masih belum jelas sama ada akan menghadirinya kerana masih belum selesai mengenai isu ini di dalam partinya.
Bagaimanapun, bekas ketua penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar sudah mengesahkan penyertaannya.
Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani juga mengesahkan penyertaannya.
“Saya masih belum mendapat mandat majlis eksekutif MTUC akan tetapi akan menandatanganinya atas kapasiti peribadi saya sebagai wakil rakyat,” katanya.
Sumber memberitahu, deklarasi itu akan diterangkan kepada rakyat dengan meluas untuk menguatkan tekanan bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.
“Panggillah ia Gerakan Rakyat,” kata sumber.
Sumber berkata, deklarasi itu akan disusuli dengan mesyuarat tertutup pada 27 Mac dianjurkan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Sejak setahun kebelakangan ini, Dr Mahathir sangat kritikal terhadap kepimpinan Najib terutamanya selepas The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Julai AS$681 juta (RM2.6 bilion) ditemui dalam akaun peribadi perdana menteri