4.05pm: Tandatangan deklarasi kini dilakukan oleh pimpinan yang hadir.
Ia dimulakan dengan Mahathir, Siti Hasmah, Azmin, Leong Sik dan Muhyiddin.
Selepas itu ia diikuti dengan Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Mukhriz, Ambiga dan Mustafa.
3.35pm: Mahathir berkata, kehadiran mereka pada hari ini bukan mewakili mana-mana parti sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang mengambil berat dan bimbang dengan keadaan negara.
Atas sebab itu, mereka semua tanpa mengenal parti politik, agama dan bangsa bersatu pada hari ini bagi memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.
“Hari ini penting kita sebagai rakyat Malaysia nak melahirkan kebimbangan dan kesedaran tentang apa yang berlaku di negara ini.
“Kami tak wakili parti, NGO dan kami adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Malah bekas perdana menteri itu berkata lagi, kesedaran untuk mereka bersama pada hari ini adalah disebabkan kebimbangan yang dilahirkan oleh rakyat Malaysia terhadap kepimpinan Najib.
“Rakyat Malaysia bimbang dan melahirkan pendapat mereka. Mereka datang kepada kami dan minta tolong lakukan sesuatu.
“Kami semua bersetuju bahawa negara ini dipimpin oleh seseorang yang lakukan kerosakan terhadap negara dan jika dia tak disingkirkan, kerosakan ini akan lebih teruk.
“Kami bersatu dengan satu isu iaitu Najib perlu disingkirkan sebagai perdana menteri Malaysia. Itu apa yang menyebabkan kami bersama,” katanya dalam sidang media hari ini.
3.37pm: Mahathir berkata rakyat Malaysia bimbang berkaitan apa yang berlaku di negara ini tetapi bercakap dengan suara yang berbeza.
Mahathir berkata negara ini ditadbir oleh pemimpin yang melakukan banyak kerosakan kepada negara.
3.35pm: Mahathir bangun membaca ringkasan deklarasi anti-Najib.
3.18pm: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah masuk ke bilik sidang media di Rumah Kelab PAUM. Turut hadir ialah tokoh wartawan Datuk Kadir Jasin.
Ketika Mahathir tiba para penyokongnya melaungkan “Hidup Tun”.
Sementara itu, seorang lagi anggota PAS Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Khairuddin Aman Razali turut menghadirkan diri pada majlis deklarasi anti-Najib pada hari ini walaupun parti Islam itu semalam mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyokong deklarasi tersebut.
Suasana dalam bilik sidang media kini sesak – dipenuhi oleh pemimpin pelbagai parti pembangkang dan NGO serta puluhan wakil media yang kini sedang menanti kehadiran Mahathir ke dalam bilik tersebut.
Pemimpin DAP Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teresa Kok telah tiba bagi menghadiri majlis tanda tangan itu.
3.15pm: Mahathir dan isterinya Tun Siti Hasmah sampai ke lokasi disambut tepukan orang ramai.
3.02pm: Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustapha Ali ketika ditemui Malaysiakini berkata, kehadirannya pada hari ini atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.
Katanya, beliau mendapat jemputan atas namanya untuk menghadiri majlis hari ini dan bukan parti.
“Saya datang sini secara peribadi. Jemputan atas nama saya,” katanya tersenyum.
Ditanya sama ada beliau tidak bimbang sekiranya diambil tindakan oleh PAS, Mustapha berkata:
“Perkara itu tidak berbangkit. Tak adalah (dipanggil). Saya datang sebab saya dijemput atas nama saya,” katanya lagi.
PAS semalam memutuskan tidak menyertai acara itu.
3pm: Pemimpin lain kelihatan setakat ini:
- Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Datuk Zaid Ibrahim
- Datuk S Ambiga
- NGO antirasuah C4 Cynthia Gabriel
- Naib Presiden PKR Tian Chua
- Presiden AMANAH Mohamad Sabu
- Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali
- 2.57pm Salahuddin meminta orang ramai melupakan perbezaan sesama sendiri untuk satu misi bersama.
“Ini satu sejarah negara,” katanya.
2.45pm: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub dan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sudah kelihatan sudah hadir.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar dan wakil PKR Kamaruddin Jaafar juga sudah hadir.
4.41pm: Menjelang sidang media 3.30 petang ini yang dinanti-nantikan banyak pihak, petugas media mula hadir ke acara di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu sedikit demi sedikit.
Kelihatan tempat sidang media yang dikatakan akan membariskan bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang itu telah disediakan.
Kira-kira 50 kerusi telah disusun untuk acara itu dengan 15 kerusi di bahagian depan dan lainnya di belakang.
Latar belakang bendera Malaysia dengan perkataan “Selamatkan Malaysia” dihias di pentas. Kelihatan juga individu memakai baju bertulis “I Support Dr M” (Saya sokong Dr M).
Sidang media hari ini bertujuan menyatakan deklarasi menolak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ia juga menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kali dalam sejarah Mahathir, bekas presiden Umno, akan mengadakan sidang media bersama pemimpin pembangkang.
Siapa status 50 pemimpin itu masih menjadi tanda tanya. Selain pembangkang, berapa banyak pemimpin Umno dan BN akan terlibat sama?