Deklarasi Rakyat Tun Dr Mahathir Mohamad bersama ahli Umno, pembangkang dan aktivis untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak bakal memberikan impak yang besar kepada Putrajaya dan Barisan Nasional (BN).
Menurut pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, walaupun keseluruhan “drama” masih baru bermula, namun kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam jangka waktu pendek, tetapi akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kira-kira 2 tahun lagi.
“Sekarang ini kita tidak dapat lihat lagi keseluruhan ‘drama’. Ia baru saja bermula. Kena lihat siri-siri selepas ini yang akan dilakukan Tun Dr Mahathir bersama pembangkang.
“Sekiranya benda (deklarasi) ini ada momentum, bermula sekarang sehingga ke PRU akan datang, ia akan beri kesan yang agak besar terhadap BN.
“Bukan saja rakyat tolak perdana menteri, tetapi parti sekali. BN akan tewas,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Bagaimanapun Azizuddin berkata, Deklarasi Rakyat tidak mungkin mencetuskan revolusi untuk menjatuhkan kerajaan.
Katanya, berkemungkinan Dr Mahathir bersama pembangkang sedang merancang untuk melakukan siri jelajah dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.
“Sekarang ini saya lihat tujuan Tun buat adalah untuk mengumpulkan momentum (bagi mendapatkan sokongan) rakyat. Ia hanya protes dan bukan sampai kepada revolusi.
“Sekiranya rakyat ikut terpengaruh dengan agenda yang dibawa deklarasi, mereka mungkin akan menolak kepimpinan perdana menteri,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Azizuddin berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan segera bagi melawan semula apa yang dilakukan Dr Mahathir.
“Kita tidak tahu kekuatan Tun dengan pembangkang.
“Perdana menteri dan BN kalau nak selamat, mereka perlu buat sesuatu untuk lawan momentum tersebut.
“Buat benda yang rakyat suka, jadi momentum itu akan dipudarkan sedikit,” katanya.
Deklarasi Rakyat yang diusahakan Dr Mahathir ditandatangani lebih 50 individu termasuklah pemimpin pembangkang daripada PKR, DAP dan Amanah serta pemimpin veteran Umno.
Selain bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, deklarasi itu turut ditandatangani Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pada majlis pelancarannya, Dr Mahathir berkata satu kempen seluruh negara akan dilancarkan bagi menggembleng seramai mungkin orang untuk menandatangani deklarasi itu bagi menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.