“Friends of BN” berang dengan tindakan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memilih untuk bersama dengan ahli parlimen Pakatan Harapan ketika menghadiri sesi pembukaan parlimen tahun ini.
Menerusi Facebook, “Friends of BN” menerbitkan semula gambar yang disiarkan di portal DAP Roketkini.com yang menyiarkan gambar Muhyiddin berjalan seiringan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
Kapsyen itu berbunyi: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama pembangkang sebelum sesi parlimen. Inilah bukti kesetiaan Tan Sri Muhyiddin. Tahniah Tan Sri kerana akhirnya menunjukkan wajah sebenar.
Individu lain dalam gambar itu ialah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Mujahid Rawa (Parit Buntar), Teresa Kok (Seputeh), Teo Nie Ching (Kulai) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).
Jumaat lalu, Muhyiddin antara 58 individu termasuk pembangkang dan pemimpin NGO menandatangani apa yang dikenali sebagai Deklarasi Rakyat.
Deklarasi itu diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar daripada Umno sebagai protes terhadap kepimpinan Najib.
Muhyiddin yang digantung sebagai timbalan presiden Umno pada 26 Februari kini berdepan kemungkinan dipecat.
Muhyiddin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu kerana kritikan beliau mengenai isu 1MDB dan perdana menteri.
Selain Muhyiddin, pelbagai pihak dalam Umno turut mahu anak sulung Dr Mahathir – Datuk Seri Mukhriz – yang dilucutkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah, dikenakan tindakan sama.
Mukhriz juga menandatangani perisytiharan itu.