Satu petisyen dalam talian untuk menyokong ‘Deklarasi Rakyat’ telah mencatatkan lebih 32,000 tandatangan selepas hanya dilancarkan pada Sabtu lalu.
Aktivis Azrul Mohd Khalib yang membuat petisyen itu berkata semakin hari semakin ramai rakyat yang menyokong deklarasi itu seperti yang terbukti melalui tandatangan mereka.
Katanya, petisyen bertajuk ‘Rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya berundur’ itu bertujuan untuk mendapatkan 100,000 tandatangan.
Sambil mengakui sesetengah pengkritik mendakwa bahawa mereka yang menuntut supaya perubahan dilakukan adalah semata-mata golongan ‘minoriti’, Azrul mempersoalkan berapa jumlah yang diperlukan sebelum pihak berkuasa akur untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan.
“Kami beritahu mereka, berikan kami nombor supaya kami boleh berusaha keras untuk mendapatkan jumlah tandatangan itu,” katanya.
Sambil berhujah bahawa petisyen itu adalah satu bentuk ungkapan demokrasi, Azrul menggesa ahli Parlimen untuk menandatanganinya juga.
“(Ahli Parlimen perlu juga) bersuara di Parlimen menentang penyelewengan yang berterusan di negara ini, bagi pihak pengundi mereka.
“Kita tidak boleh, tidak seharusnya dan tidak akan berdiam diri,” katanya.
Jumaat lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pelbagai pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil menandatangani Deklarasi Rakyat yang menggesa peletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri.