Bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said mempersoal alasan berkaitan notis awal digunakan bagi mengemukakan usul tidak percaya terhadap penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ahmad Said menegaskan undi tidak percaya dikemukakannya tiada hak dihalang dan menteri besar hanya mempunyai pilihan membubarkan parlimen atau meletakkan jawatan bila ia berlaku.
“Kalau notis, I nak bunuh you, bagi notis 14 hari?” soalnya.
Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong petang ini menolak usul itu dan berkata kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari dikecualikan.
Katanya, usul itu tidak termasuk dalam peruntukan Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.
Katanya, undi tidak percaya bukan memperkatakan pentadbiran jentera kerajaan negeri atau tanggungjawab meneri besar tetapi mempersoalkan kewujudan pembentukan kerajaan negeri itu sendiri.
Razif memulakan tugas pada Mei 2014 sebagai menteri besar menggantikan Ahmad Said yang dipaksa meletakkan jawatan setelah kemelut pertukaran kepimpinan tertinggi negeri itu.
Ahmad ketika itu dilapor membantah pertukaran itu, antaranya kerana ia timbul menjelang majlis perkahwinan anaknya.
Beliau malah mengambil keputusan drastik keluar Umno, tetapi menyertai kembali parti itu tidak berapa lama selepas itu.
Beliau kemudian dilihat bersama dalam beberapa acara dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahatir Mohamad yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terutamanya dalam isu 1MDB.
1MDB pada mulanya ditubuhkan dengan nama Terengganu Investment Authority (TIA) ketika era kepimpinan Ahmad.