Tun Dr Mahathir Mohamed mengakui bahawa beliau menghadapi risiko dicekup mengikut Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika tidak berhenti melobi supaya Datuk Najib Razak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Katanya, ini adalah alternatif terhadap apa yang mungkin berlaku jika referendum atau pungutan suara tidak diadakan bagi menyelesaikan isu populariti Najib yang terpalit dengan pelbagai skandal.
“Alternatifnya adalah untuk menunggu supaya Akta Majlis Keselamatan Negara ditandatangani oleh Agong atau menunggu selama satu bulan jika Seri Paduka tidak berbuat demikian apabila akta itu secara automatik dikuatkuasakan.
“Kemudian Najib boleh tangkap dan tahan tanpa perbicaraan bekas perdana menteri yang menjengkelkan ini. Saya mendapat mesej bahawa ini adalah apa yang menanti saya jika tidak berhenti,” katanya dalam tulisan di blog.
Rang undang-undang kontroversi MKN diluluskan oleh Parlimen pada Disember tahun lalu, tetapi masih belum diwartakan.
Sebaik diwartakan, undang-undang itu akan membolehkan pengerusi MKN – iaitu perdana menteri – untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan dan menguatkuasakan langkah-langkah kecemasan tanpa melalui prosedur biasa bagi mengisytiharkan darurat.
Aktivis sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa undang-undang itu mudah disalah-gunakan, terutamanya kerana peruntukan mengenai “keselamatan negara” adalah tidak jelas.
Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya mahu rang undang-undang itu diperhalusi manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersetuju untuk mengkajinya semula.
Rang undang-undang MKN dijangka dibentangkan semula semasa persidangan parlimen kali ini, yang berakhir pada 7 April.