Komen Pembaca
Hanya orang gila yang boleh percaya 99.99 peratus pelakon dalam video seks yang dihakimi di Mahkamah Kuala Lumpur Jumaat lalu adalah Anwar. Demikian komen kebanyakan rakyat Malaysia menanggapi perbicaraan kangaroo yang dilakukan ke atas Trio Datuk T.
Perbicaraan kangaroo itu adalah yang kedua terburuk kualitinya selepas sandiwara perbicaraan mensabitkan 6 bulan penjara ke atas Sukma Darmawan dan Munawar Anees kerana membenarkan Anwar meliwat mereka 13 tahun lalu.
Bilakah penguasa di negara ini mahu mewaraskan otak mereka dan mengeluarkan rakyat Malaysia dari suasana gila yang tidak berkesudahan. Tidak cukupkah lagi penghinaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem kehakiman Malaysia yang dianggap berada pada tahap pariah.
Tuduhan kepada Trio Datuk T amat mudah, iaitu menayangkan video lucah di khalayak umum. Jika orang lain yang terlibat dalam kes seperti ini adakah pihak pendakwa perlu membuktikan video yang ditayangkan tulen, bukan superimpose, pelakonnya 99.99 peratus tepat seperti nama yang tercatat dalam video serta mengemukakan bukti rakaman CCTV pukul berapa kehadiran pelakon di apartment?
Tentunya tidak wujud prosiding serumit itu untuk kes mudah melibatkan denda sekitar RM3,000. Kes Trio Datuk T bukan kes bunuh atau kes mengedar dadah. Mengapakah hakim bicara membenarkan pihak pendakwa (dan pembela) berceloteh panjang lebar di mahkamah untuk menghujahkan fakta yang tiada kena-mengena dengan pertuduhan.
Mengapakah pihak pendakwa membentangkan fakta kononnya video tersebut telah diselidik oleh pakar di Amerika Syarikat. Apakah semua yang hadir di mahkamah hari itu tidak faham undang-undang? Pembuktian identiti pelakon hanya boleh dikemukakan sekiranya Anwar menyaman Trio Datuk T, untuk membuktikan mereka benar maka mereka berhak merujuk kepada pengesahan pakar. Ataupun pendakwa ingin mendakwa Anwar kerana berlakon dalam video tersebut, maka pengesahan identiti imej diperlukan. Tanpa kedua-dua situasi itu, hanya orang nyanyuk sahaja yang akan membentangkan fakta yang tiada kena-mengena dengan kes.
Lebih aneh lagi, ketiga-tiga tertuduh kemudian mengaku bersalah atas tuduhan yang dibaca. Justeru untuk apa segala fakta yang panjang lebar itu jika hanya untuk menjawab, ‘Ya, saya bersalah’
Video seks memang menjadi modal Umno-BN mencaci Anwar tetapi strategi mereka gagal menghilangkan 1 peratus pun sokongan terhadap Anwar. Malah lebih ramai orang yang bersimpati dengan Ketua Pembangkang itu sebagaimana kes liwat 1 yang didakwa ke atasnya pada 1998 dahulu.
Ramai rakyat Malaysia ketika itu sanggup menerima sekiranya Anwar disabitkan atas tuduhan penyelewengan wang biar pun kes itu direka-cipta, kerana pemimpin Umno tidak boleh dipisahkan daripada rasuah. Tetapi ahli Umno mengisi borang PAS kemudiannya kerana yakin Anwar dianiaya. Liwat adalah sesuatu yang tidak masuk akal dilakukan oleh Anwar.
Situasi kali ini juga sama, tuduhan yang dibawakan amat menyimpang daripada sifat atau tingkah laku Anwar. Dakwaan Eskay, si penuduh juga tidak konsisten, pada mulanya dia berkata rakaman dilakukan di hotel, kemudian di pangsapuri, mana satu yang betul? Itu belum lagi bukti alibi Anwar berada di rumah pada hari kejadian dan disahkan oleh para pembantunya. Akibatnya, lebih ramai yang meminta borang untuk menjadi ahli PKR daripada mendengar cerita bangang pemimpin Umno.
Jadikanlah kejatuhan diktator di negara-negara Arab sebagai pengajaran. Berapa lamakah rakyat Malaysia akan bersabar dengan perangai hina kelompok pemerintah ini. Apabila kesabaran mereka hilang pastinya jawatan para pemimpin itu juga turut melayang. Cuma, kita perlu banyakkan berdoa apabila jawatan mereka hilang, mereka tidak sempat melarikan diri keluar negara. Waktu itu tentu ramai yang akan sujud di kaki Anwar meminta ampun.