Badan Peguam Malaysia meluluskan usul menyeru Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali meletak jawatan.
Keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam Malaysia semalam.
Presiden Steven Thiru berkata usul telah diluluskan namun enggan mendedahkan jumlah undi yang menjayakan usul itu.
Beliau menjelaskan bahawa usul itu seperti usul menyeru letak jawatan yang lain namun diharapkan ia akan memberi kesan kerana Badan Peguam Malaysia merupakan badan tunggal mewakili peguam di Semenanjung Malaysia.
Ketika ditanya samada Apandi merupakan ahli badan itu dan samada badan itu boleh memberi kesan pada kedudukannya, Thiru berkata Apandi bukan ahli Badan Peguam Malaysia.
Thiru menambah usul itu berbeza daripada kaji semula kehakiman yang difailkan terhadap keputusan Apandi berkenaan siasatan keatas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Ia (kaji semula kehakiman) akan tetap diteruskan.”
Thiru juga berkata semua usul yang diluluskan semalam, termasuk usul berkenaan Apandi, tapisan internet di Malaysia dan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara tidak bersifat politik.
“Keprihatinan kami adalah pada kedaulatan undang-undang dan melaksana keadilan dan bukan mengenai politik.”
Usul menyeru Apandi meletak jawatan berkaitan rasa khuatir keatas perlaksanaan keadilan jenayah, ekoran tindakan beliau membersihkan Najib daripada salahlaku dalam kes SRC, 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion.
Usul itu turut menyeru Peguamcara Negara supaya mengambil peranan sebagai pendakwaraya dalam tiga kes tersebut.
Usul itu juga menyeru Apandi supaya meletak jawatan sebagai pengarah Lembaga Tabung Haji dan semua kedudukan yang dipegang di dalam mana-mana syarikat, badan berkanun dan entiti perundangan kecuali yang kedudukan yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
Kelmarin, FMT melaporkan wakil rakyat DAP RSN Rayer membantah usul terhadap Apandi itu kerana perlantikan Peguam Negara adalah pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri.
“Tiada cara untuk mencabar Peguam Negara tanpa pindaan pada Perlembagaan Persekutuan supaya ia memuatkan klausa membolehkan penyingkiran Peguam Negara sekiranya belia gagal melaksana tugas menegakkan keadilan,” kata Rayer kepada FMT.