Ekonomi negara mula menunjukkan tanda-tanda penurunan apabila berlaku penutupan kilang-kilang besar dan semakin berkurangannya jualan dalam sektor runcit dalam suku pertama 2016
Baru-baru ini, Samsung Electronics Display (M) Sdn Bhd mengumumkan akan menutup kilang pembuatan televisyen di Seremban, Negeri Sembilan pada bulan hadapan berikutan persekitaran perniagaan kurang baik dan keadaan pasaran yang tidak stabil.
Sementara itu, British American Tobacco (Malaysia) Bhd juga akan menutup kilangnya di Petaling Jaya, Selangor secara berperingkat sehingga tahun hadapan.
Kedua-dua organisasi tersebut memberi sebab penutupan operasi kerana iklim keusahawanan yang amat mencabar dan mereka perlu membuat penstrukturan organisasi.
Dalam sektor peruncitan pula, tinjauan Suara pakatan daily ke kedai barangan runcit di Setapak mendapati angka jualan semakin menurun.
“Rakyat sudah ikat perut. Barang-barang seperti minuman dalam tin, minuman dalam kotak dan aiskrim semua tak laku. Sardin dalam tin 425 gram kedengaran akan naik sehingga RM9.70 setin. Orang miskin nak makan apa?” tanya Chong, pekedai runcit berusia 63 tahun.
Beliau juga memberitahu bukan sektor runcit sahaja terjejas tetapi restoran-restoran juga mengalami kekurangan pelanggan.
“Sekarang semakin kurang orang makan di kedai kopi Cina, semangkuk mi sup saja berharga RM6.00.
“Kerajaan gagal mengawal kos sara hidup yang semakin naik,” katanya dengan nada suara yang marah.
Keadaan kemuraman ekonomi sekiranya berterusan mungkin akan menyaksikan bantahan ke atas polisi kerajaan terutama GST sebagaimana dialami Brazil baru-baru ini yang menyaksikan 3 juta berdemo membantah kegawatan ekonomi di negara mereka.