Lebih 2000 orang membanjiri Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah dalam siri pertama jelajah Muafakat Selamatkan Malaysia.
Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia ini telah menekankan tiga isu utama iaitu mereformasikan institusi, membebaskan Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dan Undur Najib.
Lebih kurang jam 10.30 malam, pentas tersebut dikejutkan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad serta isterinya Dr Siti Hasmah yang telah mendapat perhatian dari rakyat yang hadir.
Tun Mahathir menyeru supaya rakyat Malaysia menandatangani Deklarasi Rakyat sebagai petisyen terhadap Najib yang akan diserahkan kepada Yang DiPertuan Agong membukyikan penolakan rakyat ke atas rejim Najib.
“Kita kena jatuhkan Najib, kalau tidak boleh dengan undi tidak percaya, ahli UMNO, rakyat perlu tandatangan deklarasi rakyat untuk undur Najib.
“Kita perlu hidup lebih baik dari zaman penjajah. Selagi Najib jadi PM, hidup rakyat sengsara,” katanya.
Antara pemimpin lain yang hadir ialah Mohamad Sabu (Presiden Amanah), Lim Kit Siang (Pengerusi DAP), Datuk Saifuddin Abdullah(Sekretariat Pakatan Harapan) dan Zaid Ibrahim.
Selain itu, Maria Chin (pengerusi Bersih), Datuk Husam Musa dan beberapa pemimpin dari KEADILAN, DAP dan Amanah turut kelihatan di atas pentas.
Dalam ceramah malam itu, kebanyakkan pemimpin menyeru supaya semua rakyat Malaysia turun pada 2 April depan bagi menunjukkan bantahan selepas perlaksaan GST dan secara tidak langsung menggesa PM berundur.
Pentas ini juga turut diserikan dengan nyayian penyanyi Aishah dari parti Amanah dengan lagunya Tanah Pusaka.