Umno Perak yang masih demam dengan beberapa pemimpin yang mengkritik najib mungkin dalam situasi retak menanti belah lewat perkembangan mutakhir keluarnya Dr Mahathir dari parti itu.
Bagi Pemuda AMANAH Negeri Perak kemelut Deklarasi Rakyat akan memecahkan Umno Perak kepada puak yang setia kepada PM Najib dan penyokong tegar Dr Mahathir.
Timbalan Ketuanya, Mohd Fitri Asmuni berkata, semenjak krisis bermula pada sekitar Julai 2015 sehingga sekarang, masih banyak Umno Bahagian tidak menyatakan pendirian mereka sama ada mengecam Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyidin atau menyokong kepimpinan Dato’ Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak.
Selain beberapa Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Ketua Umno Bahagian telah membuat pendirian mereka seperti Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz dan juga Dato’ Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Kawasan Larut.
“Sudah tentu Umno Bahagian Bagan Datoh dan Lumut di bawah kepimpinan mereka iaitu Dato’ Seri DiRaja Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno serta Dato’ Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Umno Perak menyokong kepimpinan Umno yang ada sekarang.
“Tetapi setakat ini hanya melalui Umno Bahagian Gopeng yang terlebih dahulu mendesak agar kedua-dua tokoh Umno tersebut diambil tindakan seawal pada 26 November 2015 yang lalu selain Umno Bahagian Sungai Siput pada 13 Mac 2016 baru-baru ini.
“Pemuda AMANAH Perak masih tidak melihat Umno-Umno Bahagian yang menyuarakan bantahan terhadap Pasukan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyidin terutamanya menggerakkan Deklarasi Rakyat bagi ‘menurunkan’ Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya.