Kira-kira 5,000 demonstran tidak menghiraukan suhu terik 37 darjah celsius dan kemungkinan menghadapi nyahidrat, terus melaungkan “Undur Najib Undur Rosmah, Bebas Anwar Hancur GST, Guling BN dan Reformasi” sambil mendengar ucapan para pemimpin Pakatan Harapan mengecam Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
Kawasan luar Dataran Merdeka penuh sesak dihimpit demostran yang tidak berganjak menuju pukul ke 5.00 petang.
4.16 petang
“Najib dan Umno tidak ada maruah untuk memerintah negara ini,” ujar Dr Dzulkefly diakhiri dengan pekikan “Tumbang BN” dan “Reformasi”
4.05 petang
Giliran anak muda menguasai pentas ceramah dengan nyanyian lagu-lagu pembebasan, “Rakyat Lawan” dengan antara liriknya, “Oh Najib penipu, kami mahu kamu undur.”
Turut dinyanyikan, “GST bangsat kami datang, Kami turun ke jalan raya. Satu jiwa sayang Malaysia. GST bangsat hoi dibuang saja.”
Diketuai kumpulan pemuzik, BangsArt mereka turut menasihatkan agar anak muda mengutip sampah yang ada di jalan raya.
4.00 petang
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Ronnie Liu berkata sejak GST dilaksanakan 1 April 2015 peniaga Cina mengalami kemerosotan pendapatan antara 30-50 peratus.
“Kajian telah dibuat oleh Gabungan Persatuan Peniagaan Cina Malaysia yang pernah melaporkan pada Mac lalu mereka alami kekurangan pendapatan perniagaan antara 30-50 peratus.
“Orang Cina juga tidak sokong GST… Ini bukan kerana kita peniaga yang banyak menyumbang kepada cukai kerajaan tetapi GST itu sendiri sebenarnya membebankan peniaga berbanding cukai SST terdahulu,” ujar Ronnie Liu yang turut mendesak kerajaan memansuhkan GST
3.45 petang
“Kita mesti teruskan momentum melawan GST yang diseludup keluar. Orang di atas apa tahu? Wang anak muda di kota raya berputar hilang begitu sahaja. Hak pendidikan kita dicabul kerana telah dirobek pemimpin di atas sana.
Jangan pernah berhenti melawan GST. Senang-senang mereka menyedut wang kita. Kita tidak mahu lagi mendengar pelbagai siri pembunuhan hanya kerana mendedahkan kepincangan elit penguasa.” – Wakil Wanita Muda Amanah, Irfah.
3.40 petang
Ucapan berirama oleh aktivis yang dikenali sebagai ‘Uncle Soh’ menarik perhatian orang ramai. Beliau turut merayu Yang di-Pertuan Agong mengambil perhatian bebaskan Anwar. “Kenapa polis tidak siasat pembunuhan Altantuya? Kami mohon Tuanku bebaskan pemimpin kami. Ampun Tuanku,” ujarnya
3.35 petang
“Wahai pemimpin yang gila kuasa. Sedarlah kamu tidak layak until terus berkuasa. Merompak berbilion ringgit. Untuk apa? Untuk isteri tercinta. Kamu ingat negara ini bapak kamu punya.” – Wakil Srikandi PKR, Nurul Hajar
3.30 petang
“Berapa lama lagi kita harus biarkan pembaziran perbelanjaan negara? Sampai bila rakyat Malaysia terus berkata, ‘tidak mengapa’? Menteri sekarang tak merasa panas, susah. Mansuhkan GST. Teruskan perjuangan. Bebas Anwar. Hancur kezaliman,” ujar Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah.
3.25 petang
“Kalau panas begini pun tak boleh, bagaimana nak lawan kerajaan Umno-BN. Lawan tetap lawan!” laung Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
3.00 petang
Perarakan dari Masjid Jamek @ Kampung Baru tiba untuk bergabung di Dataran Merdeka.
2.23 petang
Polis tidak menghalang kumpulan A.P Buskers buat persembahan dangdut.
2.18 petang
Penyokong dan pemimpin Dapsy yang berkumpul di Jalan Sultan bergerak masuk ke Dataran Merdeka
1.40 petang
Peserta himpunan selesai solat Zohor di masjid jamek Kampung Baru.
1.15 petang
Jalan Sultan – 3 ADUN DAP, Tey Kok Kiew (Bandar Hilir), Arul Kumar (Nilai), P. Gunasegaran (Senawang) tiba di lokasi.
1.00 petang
Jalan Petaling – “GST memang membebankan rakyatdan untungkan kerajaan,” kata kata seorang peniaga yang baru tiba menjual t-shirt tertera “undur Najib mansuh GST” sebanyak 200 helai untuk acara hari ini. Pihak media sudah berkumpul di Jalan Sultan di hadapan CIMB. Kelihatan penyokong sudah memasuki Jalan Sultan.
12.15 petang
Tali kuning tertera “Kawalan Penguatkuasaan DBKL”dapat dilihat di beberapa lokasi dari Masjid Negara ke persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut dekat Dataran Merdeka.
12.12 tengahari
Sekumpulan pelancong dilihat berjalan di luar siar kaki di Jalan Raja Lautakibat kawasan sekitar bangunan DBKL diletakkan halangan berpagar.
11.00 pagi
Para peserta himpunan Bantah GST mula tiba di ibu negara Kuala Lumpur hari ini. Mereka mula menuju empat pusat pengumpulan utama iaitu Kampung Baru, Central Market, Jalan Sultan dan Sogo sebelum menuju ke Dataran Merdeka.
Selepas setahun pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April 2015 lalu, yang menyaksikan kenaikan barangan dan perkhidmatan di negara ini, hari ini rakyat Malaysia bakal berkumpul bagi membantahnya.
Empat tempat bakal menjadi pusat pengumpulan mereka iaitu Masjid Kampung Baru (Amanah), Pasar Seni atau Central Market (Jingga 13), Jalan Sultan (DAP) dan kumpulan lain di Sogo.
Mereka kemudiannya akan bergerak ke Dataran Merdeka di mana perhimpunan kemuncak mereka akan berlangsung.