Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang masuk setahun dikuatkuasakan ke atas rakyat Malaysia mendapat tentangan daripada pelbagai kaum dan lapisan kehidupan di negara ini.
Rata-rata peserta demonstrasi ‘Undur Najib, Mansuh GST’ yang ditinjau Suara pakatan daily pada 2 April lalu menyatakan dengan tegas cukai berkenaan amat mendera rakyat ketika ekonomi negara mengalami kelembapan, ditambah pula kadar inflasi 4.2% dan penutupan beberapa buah kilang yang besar sejak tahun lalu.
Amirul, 24 tahun, seorang peniaga berkata, negara ini tidak memerlukan GST sama sekali kerana kaya dengan hasil bumi.
“GST perlu dihapuskan. Negara kita kaya dengan sumber asli dan sewajarnya rakyat tidak perlu dikenakan cukai,” katanya.
Seorang makcik lingkungan 60an berpendapat kalau kerajaan berdegil mahu melaksanakan GST, ia patut dikenakan ke atas barangan berjenama atau barang-barang kemas, bukannya keperluan harian rakyat.
Seorang penuntut Albert Wong, 21 tahun dari sebuah institut pengajian tinggi swasta pula menolak GST untuk menampung bajet negara menandangkan sumber asli negara begitu banyak.
“Amat menyedihkan apabila kerajaan membebankan rakyat walaupun sumber asli negara kita melimpah-ruah. Ini menunjukkan sistem pengurusan dan pentadbiran yang lemah,” katanya .
Seorang pemandu teksi dalam lingkungan usia 40an, Gana, berpendapat warga miskin akan hidup dalam keadaan yang amat sengsara dan menjadi papa kedana kalau kadar GST naik menjadi 7%
“Sekarang di satu dua tempat di KL sudah ramai gelandangan dari berbagai bangsa. Mereka tiada kerja, tiada wang bayar sewa bilik. Sewa rumah pun sudah amat mahal.
“Kalau GST naik 1% saja lagi kita habislah,” keluhnya.