Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli didakwa di mahkamah hari ini atas tiga pertuduhan memiliki dan membocorkan rahsia kerajaan serta memfitnah.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (1)(c)(iv) dan 8 (1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana memiliki dan mendedahkan muka surat 98 laporan audit mengenai 1MDB dalam sidang media.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Parlimen antara 24 dan 28 Mac.
Jika bersalah, dia boleh dipenjara maksimum tujuh tahun.
Di Mahkamah Majistret, Ahli Parlimen Pandan itu menghadapi satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi blognya pada 18 Februari lalu.
Bagi tuduhan itu, dia menghadapi penjara dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Rafizi mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga tuduhan itu dan minta dibicarakan.
Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnian Hassan membebaskan Rafizi dengan ikat jamin RM3,000 bagi tuduhan OSA.
Manakala Majistret Mohd Raihan Mohd Aris menetapkan ikat jamin RM1,000 bagi tuduhan memftnah TH.
Ketiga-tiga tuduhan itu akan disebut semula pada 29 April ini.
Rafizi sebelum ini direman tiga hari selepas ditangkap di luar bangunan Parlimen pada Selasa lalu.
Sementara itu, sebaik sahaja dibebaskan dengan ikat jamin, setiausaha agung PKR itu terus mencabar Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar bertanding dengannya jika mahu bermain politik.
“Kalau IGP nak main politik mari bertanding di Pandan,” tulis beliau di Twitter.