Demonstrasi anti perlaksanaan program dwi bahasa (DLP) yang dianjurkan Pas di Taman Tasik Titiwangsa tidak membawa apa-apa impak apabila dilakukan di kawasan padang tengah-tengah taman rekreasi itu bermula pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang tadi.
Demo yang dua minggu sebelumnya dianjurkan di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur tidak kesampaian untuk dianjurkan di Dataran Merdeka apabila pihak berkuasa menutup kawasan berhampiran dengan alasan penganjuran acara rasmi kerajaan.
Oleh kerana ‘kepala’ demo kali ini adalah Pas yang sering berkompromi dengan kerajaan BN maka demo dialihkan ke Taman Tasik Titiwangsa, yang tidak mungkin disaksikan oleh sesiapa kecuali warga kota yang bersiar-siar bersama keluarga.
Demo ini sedikit bernafas apabila beberapa orang profesor seperti Prof Shahril Mohd Zain, Prof Zainal Abidin Borhan dan beberapa tokoh bahasa lain berucap.
Manakala hujah bekas Timbalan Pengarah Kementerian Pelajaran Datuk Abdul Raof Hussin menarik perhatian apabila membentangkan fakta program PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003 gagal mutlak kerana jumlah calon daripada sekolah menengah untuk mengikuti kursus berasaskan Sains dan Matematik di institut pengajian tinggi menurun.
“Pada 2010 kita sasarkan nisbah bidang sains, sastera 60:40 (calon mengikuti kursus IPT). Tetapi bila wujud PPSMI jumlah calon yang layak mengambil kursus sains menurun. Hari ini hanya 20 % sahaja calon yang layak mengikuti aliran sains.
“Pada 2020 kita perlu 443,850 mahasiswa lulusan sains dan teknologi. Dengan perkembangan sekarang kita akan kekurangan 236,000 lulusan tersebut.
“Kita lihat SPM 2015, yang ambil Matematik Tambahan misalnya hanya 152,000. Yang dapat A+, A- hanya 20%, maknanya 32,000 sahaja,” katanya.
Pas pula membariskan ketua pemuda Nasrudin Tantawi, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad dan lain-lain.
Namun kemunculan Presiden Perkasa Ibrahim Ali jelas merosakkan suasana dan melencongkan mood demo. Beliau membangkitkan penyatuan Melayu Perkasa – Pas. Ibrahim juga menyindir Pas dan DAP telah bercerai talak tiga kerana itu Perkasa tidak lagi mencurigai kemelayuan parti Islam itu.
Kemunculan presiden Perkasa itu menyebabkan beberapa peserta demo mengubah sorakan ‘tolak DLP’ kepada ‘tolak DAP’ dan ‘mansuh DLP’ kepada ‘Mansuh DAP’. Penyokong Pas jelas tidak menghormati tokoh sasterawan negara Pak Samad yang merupakan ahli DAP duduk sebagai tetamu di hadapan mereka.
Pak Samad dalam ucapannya menyindir pemerintah yang takut demo itu dianjurkan di tengah-tengah masyarakat umum.
“Selayaknya himpunan ini diadakan di Dataran Merdeka. Mereka mahu di Tasik Titiwangsa supaya apa yang kita suarakan tidak sampai. Tetapi mereka tidak tahu apa yang kita mahu tetap sampai
“Jangan fikir bahasa Melayu kecil, bahasa Melayu Indonesia terutamanya sedang berjuang supaya di terima di PBB (sebagai bahasa pengantar persidangan),” katanya.
Demo itu berakhir pada jam 4.00 petang tanpa menerbitkan sebarang resolusi atau perancangan bergerak ke arah demo yang lebih besar sebagaimana dilaksanakan pada 2009 dalam membantah PPSMI.
Namun sekurang-kurangnya demo ini berjaya memulangkan hujah Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata demo anti GST pada 2 April lalu kurang sambutan kerana Pas tidak menyertainya. Beliau dipetik berkata, daripada jumlah kehadiran (anti GST) mungkin gagal, sebab PAS tidak menyertai. Kalau PAS turut serta jumlahnya lebih besar.
Namun demo anti DLP anjuran Pas hanya ini dihadiri 500 – 600 peserta, sedangkan anti GST mencatat 5,000 peserta.