Biarpun SPRM masih menyiasat kes banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kononnya mempunyai unsur rasuah namun rakyat awam lebih mempercayai kerajaan BN cuba mereka cipta pertuduhan ke atas pemimpin nombor satu DAP itu.
Menurut seorang peguam hartanah, kes pembelian rumah Guan Eng pada harga yang lebih rendah berbanding dengan nilai pasaran tidak menjadi masalah dalam undang-undang asalkan semua prosedur pembelian diikuti.
“Setahu saya, Guan Eng telah membayar duti setem ke atas nilai pasaran terkini rumah itu. Ini bererti kerajaan tidak mengalami kerugian akibat dari transaksi jual-beli tersebut.
“Yang penting di sini ialah duti setem ke atas nilai sebenar telah dibayar,” kata peguam itu yang enggan namanya disiarkan.
Beliau juga sangsi mengapakah isu itu diperbesar-besarkan menjelang pilihan raya negeri Sarawak sedangkan wakil BN mempunyai banyak masa sebelum ini untuk mendedahkannya.
“Mengapa Guan Eng mengalami masalah ini sejurus sebelum Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak?” tanyanya lagi.
Beliau sebagai pemerhati politik neutral berpendapat kes itu diperbesarkan bagi melemahkan DAP yang dijangka akan memberi tentangan hebat di Sarawak seperti sebelum ini pada PRN Sarawak 2011 lalu.
“Senario politik di negara kita dipropagandakan dengan bermacam-macam isu. Tetapi kita jangan lupa bahawa imej Malaysia di pentas antarabangsa semakin buruk setiap kali wujud isu baru,” akhiri beliau.