Kempen hari kedua di pilihanraya kecil DUN Tenang masih belum panas biar pun telah menerima kunjungan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim. Isu semasa yang dibangkitkan berkisar kepada isu peribadi dan cabaran debat oleh Anwar terhadap PM Malaysia Najib Razak.
Barangkali hal ini akan mengulangi apa yang berlaku di dalam PRK Hulu Selangor April tahun lalu di mana Anwar mencabar Najib berdebat isu APCO di mana-mana lokasi ceramah di Hulu Selangor. Bagaimanapun, Najib tidak menyahut cabaran itu dan malah program kempen BN tidak pernah pula serentak dengan program PR di satu tempat yang sama.
Anwar dalam kempennya di Felda Tenang malam tadi mencabar Najib untuk melihat siapa yang terlondeh dalam debat. Najib boleh memain isu peribadi dan Anwar akan menjawabnya.
“Mengapa tak mahu (berdebat), mengapa tak boleh. Mengapa jawapan dia menghina saya?
“Kalau saya ada maklumat, saya akan londehkan Anwar dan demam. Tak apa, demam pun saya pergi. Insya Allah. Demam pun saya mampu debat. (Saya mahu) tajuk ekonomi. Najib mahu tajuk peribadi, tak mengapa. Tajuk pertama ekonomi, tajuk kedua peribadi”
“Kita nak tengok, siapa yang kena londeh. Adakah tindakan (mendedah peribadi) ini baik? Sebab itu saya cadangkan debat ekonomi. Bukannya dengan cara maki hamun,” ujar Anwar di hadapan para hadirin
Sementara itu isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan calon BN sewaktu penamaan calon masih dijadikan isu oleh MCA Dr Chua Soi Lek untuk menarik perhatian masyarakat bukan Melayu.
Malah Soi Lek dalam satu ceramahnya berani memprsendakan calon PAS sebagai mana dipetik Malaysiakini: ‘Normala (calon PAS) tidak akan datang ke kuil ini, dia tidak akan berjabat tangan dengan orang ramai. Saya telah menerima aduan tentang perkara ini, Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan jika hendak berjabat tangan, jika anda semua boleh menerima nilai-nilai Islam sebegini, teruskan dan undilah PAS.’
Kenyataan Soi Lek itu dilihat kebudak-budakan dan sengaja mempersendakan Islam. Ia tidak melambangkan kematangan dalam berpolitik. Pengundi Tenang bukan inginkan isu kontroversi dan bergaduh sesama sendiri akibat politik sempit para pemimpin, mereka hanya perlukan pembelaan ekonomi. Terutama masyarakat feklda yang masih dibelenggu kemiskinan.
Diharapkan pemimpin yang datang ke Tenang beberapa hari seterusnya tidak membawa politik sempit yang menyesakkan lagi nafas penduduk Tenang.