Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau masih menaruh harapan untuk berdebat di kaca televisyen dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Harapan tersebut masih terbuku di hati Lim walaupun selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan TV3 untuk membatalkan rancangan siaran debat berkenaan kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan pihak polis dalam urusniaga tanah Taman Manggis di Pulau Pinang.
Terdahulu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (SCC) yang menyelia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mahu debat yang dirancang antara Lim dan Abdul Rahman dibatalkan.
“Sepanjang pengetahuan saya, kami dimaklumkan bahawa debat tersebut pada hari Selasa ini, saya masih anggap debat ini masih berjalan,” kata kepada pemberita di Kuching.
Dalam pengumumannya, TV3, yang dimiliki oleh Kumpulan Media Prima, berkata pihaknya membatalkan penyiaran debat berkenaan atas nasihat polis dan SPRM. Debat tersebut dijadualkan pada malam Selasa akan datang.
Khalid, dalam catatan tweet beliau malam semalam, meminta debat tersebut dibatalkan.
“@PDRMsia bersetuju dengan @SPRMMalaysia, debat banglo Manggis sepatutnya dibatalkan. Siasatan polis sedang berjalan. Saksi utama, termasuk ketua menteri, belum dipanggil,” katanya.
“@PDRMsia meminta semua stesen TV agar membatalkan debat secara siaran langsung itu sehinga kes itu selesai,” demikian catatan kedua tweet itu.
Mengulas lanjut, Lim menambah : “Kenapa pada masa itu, beliau (Khalid) tidak memperkatakan mengenai program televisyen malam menjejaskan siasatan? TV3 pada setiap malam – antara 15 minit hingga setengah jam – menyiarkan program yang menjejaskan siasatan,” kata Lim.
“Kenapa tidak tweet sedemikian sejak dahulu, tiga minggu yang lalu? Apakah beliau mahu selamatkan Abdul Rahman Dahlan