Penganalisis politik berpendapat pentadbiran Ketua Menteri Adenan Satem takut berlakunya kebajiran rakyat mendengar ceramah pemimpin pembangkang dari Semenanjung sebagai punca mengapa mereka dihalang masuk ke Sarawak.
Kata penganalisis itu, Adenan belajar daripada pengalaman pilihan raya negeri pada 2011 yang mana DAP menggempur bandar-bandar besar seperti Kuching, Miri dan Bintulu melalui penganjuran ceramah-ceramah besar melibatkan beberapa personaliti utama DAP dari Semenanjung.
Kedatangan pemimpin DAP Pusat dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim ketika itu mengundang puluhan ribu pengundi keluar mendengar ceramah setiap malam.
Keputusannya, DAP berjaya mendapat 12 kerusi, prestasi terbaik di Sarawak dan PKR 3 kerusi.
Bagaimanapun, kata penganalisis politik yang enggan namanya disiarkan itu, langkah menyekat pemimpin pembangkang dari Semenanjung akan mematikan demokrasi di Sarawak dan menghadkan pemahaman pengundi terhadap isu politik semasa.
Katanya lagi, persaingan yang sihat di antara parti-parti yang bertanding seharusnya digalakkan.
“Walaupun Sarawak mempunyai hak untuk menghalang Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari masuk, adakah langkah tersebut perlu dibuat ataupun wajar diambil?” tanya penganalisis itu.
Menurutnya, tindakan menghadkan pemahaman politik pada jangka panjang boleh menyebabkan rakyat tidak mampu berfikiran kritis dan membantutkan pengembangan minda kreatif serta inovatif dalam kalangan rakyat.
Kemajuan negeri juga akan terbantut dengan tahap pemikiran rakyat yang semakin kolot, katanya.