Media antarabangsa, Daily Mail melaporkan, Arab Saudi terpaksa membuat pinjaman USD10 bilion dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah defisit dalam bajetnya ekoran kejatuhan teruk harga minyak dunia.
Sebagai negara pengeksport minyak utama dunia, kejatuhan harga minyak telah menjejaskan kewangan negara itu ketika dakwaan wujud kononnya keluarga diraja Saudi menyumbangkan derma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Menurut Daily Mail Online hari ini, negara itu hampir selesai membuat pinjaman itu dari bank-bank di Amerika, Eropah dan Jepun melalui JP Morgan, HSBC dan Bank of Tokyo-Mitsubishi.
“Negara ini pada asalnya mensasarkan pinjaman antara USD6 hingga USD8 bilion untuk tempoh bayaran balik selama lima tahun, satu pinjaman yang buat pertama kali terpaksa dibuat olehnya sejak lebih sedekat yang lalu.
“Tetapi Kementerian Kewangan telah menaikkan jumlahnya ekoran keperluan yang meningkat,” lapor Daily Mail.
Menurut sumber, kata media itu, pinjaman ini sepatutnya dimeterai penghujung April ini dengan peminjamnya termasuk dari bank-bank Amerika, Eropah dan Jepun.
Setiap bank itu akan menyumbangkan kira-kira USD1.3 bilion, manakala selebihnya akan datang dari sumber-sumber lain.
Namun begitu, lapor Daily Mail, JP Morgan dan HSBC enggan memberikan sebarang komen dan tidak seorang pun boleh memberikan pengesahan bagi pihak Bank of Tokyo-Mistubishi.
Beberapa hari lepas, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengesahkan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perdana menteri Datuk Seri Najib Razak adalah derma dari negara itu tanpa mengharapkan balasan.
Kenyataan itu dibuat selepas Adel bertemu dengan Najib di New York ketika pelbagai media seluruh dunia, khasnya Wall Street Journal (WSJ) mendakwa wang itu datangnya dari 1MBD, syarikat milik kerajaan yang kini terdedah dengan skandal.