Rakyat Malaysia etnik Cina dan India disaran supaya berhijrah kerana keharmonian kaum di negara ini tidak lagi sebaik dahulu.
Begitu pandangan aktivis sosial dan jurugambar, Eddie Putera.
Eddie dalam catatan Facebooknya mencadangkan orang Cina dan India supaya mengumpul wang untuk membeli “mana-mana tempat dalam dunia” dan bina sebuah negara baru kerana “kamu semua tidak sepatutnya dilayan sebegini teruk”.
“Kalau lu orang ingat mau kasi chance Melayu pun chip in, share, tolong la invite wa sama. Wa pun mau pindah.
“Jom sama sama bikin Negara Baru. Kita hidup balik sama sama. Wa ingat ar, bukan wa sorang Melayu mau ikut lu orang. Ramai lagi kot yg mau chow,” tulisnya dalam gaya bahasa pasar.
Beliau mendakwa keharmonian kaum di masa lalu lebih menonjol berbanding hari ini, dan menambah bahawa orang Cina yang membina ekonomi negara menjadi kuat manakala orang Melayu memastikan negara ini diurus dengan baik dan orang India, yang turut terlibat dalam perniagaan, menyediakan sokongan kepada sumber manusia dan kumpulan pemikir.
“Tapi itu dulu.
“Sekarang ni ar, manyak ada pening kepala. Budak2 melayu kawan sama sendiri. Budak2 Cina sama orang Cina. Budak budak India pun sama.
“Lu tak percaya, lu pigi sana shopping mall tengok. Sudah jarang tengok satu gang 3 bangsa jalan sama sama.”
Beliau memberikan beberapa contoh, termasuk kejadian pergaduhan antara sekumpulan Melayu dan Cina di Plaza Low Yat November lalu, dan tunjuk perasaan di Petaling Street melibatkan kumpulan Baju Merah September lepas.
Beliau menambah orang Melayu semakin sensitif dan takut kepada gereja-gereja Kristian dan restoran menjual daging khinzir.
“Melayu sekarang sudah takut tengok itu Church.
“Dulu ar, budak Melayu pigi sekolah rendah sudah nampak Salib. Tak percaya tanya budak budak St Johns Institution. Wa punya adik sana Convent Bukit Nanas sekolah. Dia punya headmistress is a Nun pakai jubah punya.
“Tapi kami semua masih Muslim yang sebetul-betulnya,” katanya.