Langkah parti Amanah Negara (Amanah) mengemukakan tujuh tawaran untuk rakyat Sarawak dalam pilihan raya negeri (PRN), bukan manifesto seperti kebiasaan membuktikan parti itu realistik, kata timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Dalam temubual bersama Sarawak Voice, Salahuddin berkata, sebagai parti baharu yang hanya bertanding 13 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), Amanah perlu berdiri di atas kekuatan sendiri dan perlu memberikan komitmen untuk menjadi pembangkang yang kuat di Sarawak.
“Kita tidak mahu bercakap besar, seperti mahu memerintah Sarawak sebagai contoh. Itu baru perlu manifesto yang menyeluruh, yang menggambarkan kita mampu membentuk kerjaaan.
“Apabila kita menawarkan mahu menjadi pembangkang yang kuat, maka 13 kerusi itu boleh menggambarkan komitmen kita. Rakyat percaya kita memang memahami realiti itu,” kata beliau yang juga pengarah jawatankuasa pilihan raya Amanah bagi PRN Sarawak.
Beliau juga berkata, Amanah perlu berusaha mendapatkan kepercayaan rakyat Sarawak dan selepas bergabung dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan, mereka mampu menjadi suara yang kuat dalam Dun Sarawak bagi memperjuangkan hak rakyat negeri itu.
“Antara tujuh tawaran lain adalah berkaitan perjuangan tanah adat sebagai contoh, perlu suara yang kuat dari Sarawak dalam menetang GST sebagai contoh.
“Kita perlu reformasi dari segi pentadbiran negeri supaya adanya “check and balance” yang memenehui perkara penting dalam prinsip demokrasi, proses berimbang berterusan dalam kerajaan, “good governance” , itu boleh dilakukan dengan kita menjadi pemebangkang yang kuat. Sebab itu kita pilih tujuh yang terbaik dalam PRU pada kali ini,” jelasnya.
Semalam, Amanah dihadiri 13 calon mereka melancarkan tujuh tawaran mereka dalam sidang media di Kuching.
Selain berjanji akan menjadi pembangkang yang kuat, Amanah juga akan memperjuangkan kualiti hidup rakyat Sarawak iaitu terus mendesak kerajaan negeri meningkatkan keperluan asas iaitu air bersih, eletrik, jalan raya dan pusat kesihatan untuk semua rakyat di segenap kawasan.
Selain itu amalan beragama dan hubungan antara kaum yang harmoni harus diperteguhkan kerana ia merupakan keperluan asas yang minimum untuk rakyat hidup dengan sejahtera.
Bagi memastikan tujuh tawaran ini diketahui rakyat, Amanah akan menggunakan sepenuhnya media baharu yang sentiasa dipertingkatkan keupayaannya dalam tempoh kempen yang berbaki ini selain calon-calon yang akan terus turun padang.
“Kita menjangka bahawa tujuh tawaran Amanah itu melalui kempen yang berkesan dan media baru yang sangat membantu yang boleh sampai kepada setiap tangan pemimpin melalui gajet yang canggih pada hari ini.
“Saya rasa kita bakal mencipta satu kejutan dan kita mampu memberi makna dalam penyertaan kita pada pilihan raya ini,” katanya.