Permulaannya saya panjatkan rasa syukur kepada maha kuasa kerana memberi ruang dan peluang untuk saya berada di bumi Sarawak selama 6 hari.
Dalam keizinan pertama kali dapat menjejakkan diri di negeri puteri santubong, saya ditugaskan berada di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pusa.
Tujuan saya dan beberapa teman ke sana tidak lain dan tidak bukan tentunya mahu menghasut penduduk di Pusa yang terletak di bawah DUN N.29 Beting Maro dalam misi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional Sarawak.
Hasutan itu bukanlah mahu menurunkan kerajaan yang ada melalui revolusi tetapi melalui jalan demokrasi yang agak terbatas kebebasan dalam mengamalkannya.
Pasti ramai yang bertanya apakah yang dimaksudkan dengan tajuk diatas. Untuk makluman penduduk di semenanjung tanahair, resam politik disini jauh beda dengan apa yang berlaku diseberang.
Ianya ibarat sebuah identiti yang asing jika terlihat di negeri Perlis hingga ke Johor.
Bayangkan disaat kempen berlangsung ada yang memakai baju PAS mengantung bendera BN dan sebaliknya. Sukar untuk mereka yang mewakili parti meramalkan pilihan rakyat di Sarawak. Baju politik itu umpama pakaian raya, warna yang tertera tidak mampu diagak apa yang akan dipangkah pada 7 Mei 2016.
Lebih tenang disaat bendera dan poster dinaikkan. Tidak sedikit pun mereka menjerit atau mengherdik. Kata kunci mereka “lawan tetap lawan, kawan tetap kawan” menjadi asas kempen mereka.
Jika disemenanjung, lain pula sikapnya. Kalau petugas UMNO dalam proses menaikkan bendera atau papan tanda calon, perlu ada tempoh bertenang sebelum parti lain seperti DAP menaikkan hak mereka yang dijamin oleh akta pilihanraya.
Kalau disekalikan proses diatas, pasti ada yang lebam dan remuk hatinya.
Itulah yang perlu untuk rakyat semenanjung pelajari dari mereka yang berada di Sarawak. Santun mereka begitu tinggi nilainya.
Namun demikian, rakyat di Sarawak pula perlu belajar keberanian rakyat semenanjung dalam mempertahankan hak bagi mereka yang bergelar warganegara Malaysia.
Perubahan landskap pemerintahan negara adalah tanggungjawab keselurahan kita baik dari Sabah, Sarawak dan semananjung.
Lihat masalah air yang berlaku ditempat saya berkempen baik di kampung yang namanya Pusa atau Beladin, mereka terpaksa menadah air hujan untuk dijadikan air minum dan untuk memasak.
Jika disemenanjung, bekalan air terputus hanya untuk masa satu jam, tidak menang tangan operator syarikat air melayan aduan. Tapi di Sarawak berpuluh tahun air bersih tiada, rakyat disana masih mampu senyum dan ketawa.
Sarawak punya hasil alam yang kaya, baik dari sumber balaknya hinggalah kepada hasil minyaknya. Tapi Sarawak jugalah yang kurang merasa nikmatnya.
Tidak usahlah dipercaya omongan kosong baik dari Ketua Menteri hatta sekalipun apa-apa janji yang diumum oleh Perdana Menteri Najib.
Mereka umum puluhan juta untuk memenangi pilihanraya, tetapi rakyat tidak perlu bersorak gembira malah perlu bertanya mana perginya janji jutaan ringgit pilihanraya yang lalu.
Siapkan dulu jambatan yang terbengkalai atau selesaikan dulu masalah air yang membebankan hampir kebanyakan rakyat di Sarawak.
Ingat, pilihan dan perubahan terletak pada undi anda wahai rakan-rakan di Sarawak. Berikan undi pada Pakatan Harapan untuk masa depan yang lebih baik. Belajarlah pula dari kami disemenanjung untuk keberanian berubah.
Muhammad Syafiq Azmi