Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerap kira-kira RM21.5 juta yang sepatutnya ditanggung oleh rakyat di kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh 1 April hingga 31 Disember 2015, tegas Pengarah Komunikasi Amanah Permatang Pauh, Zainulfaqar Yaakob.
Katanya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyerap RM15,641,007, manakala baki RM5,822,996.19 lagi diserap oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengambil langkah sebegitu kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang terbatas, ujarnya lagi.
Beliau berkata, kuasa melaksanakan dan menghapuskan GST hakikatnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Justeru, tegas Zainulfaqar lagi, Tan Sri Adenan Satim dalam kenyataannya hari ini tidak wajar berdalih supaya Pakatan Harapan menghapuskan GST di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dahulu, jika tidak setuju dengan “Tujuh Tawaran AMANAH” sekalipun, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yg sedang berlangsung sekarang.
Pemangku Ketua Menteri Sarawak itu, katanya, sepatutnya mendesak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menghapuskan GST yang nyata membebankan semua peringkat rakyat Malaysia termasuk di Sarawak, jika beliau jujur.
Zainulfaqar menyifatkan, tiada makna Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak meraih kempen “Beri Peluang Sekali Lagi Untuk Pasukan Adenan”, jika tiada komitmen ke arah menghapuskan GST sebagaimana telahpun ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.