Umat Islam seluruh dunia berdepan dengan pemerintah tanpa integriti menjadikan di mana-mana bumi diduduki mereka menyaksikan rakyat paling azab dan tertindas manakala pemimpin-pemimpin hidup dalam kemewahan luarbiasa.
Presiden Amanah, Haji Mohd Sabu berkata, semua angka lambang suasana azab seperti pelarian, kemiskinan, terperangkap gejala sosial, salah guna dadah, hidup dalam sampah, tiada kemudahan asas dan pencerobohan hak asasi dijuarai oleh negara-negara umat Islam.
“Manakala negara-negara disenarai paling tinggi integriti seperti bebas rasuah, kebersihan terbaik, prasarana kelas pertama, bandar-bandar selamat dan warga sopan santun semuanya bukan negara Islam,” katanya,
Menurut beliau daripada 20 negara paling atas yang dikategorikan “berakhlak Islam” tidak ada satu pun yang diduduki oleh orang Islam.
Di negara kita kata beliau, negeri Terengganu telah setengah abad menjadi menjadi pengeluar minyak dan pernah digelar Kuwait Malaysia, rakyatnya masih berada di “rangking” nombor dua paling miskin di negara ini.
“Sekarang semua pakat pergi Sarawak, kecuali saya, lihatlah rakyat Sarawak masih tadah air hujan dalam tong biru untuk minum, basuh pakaian,” kata beliau menyindir kerana tidak dibenar masuk ke Sarawak sepanjang kempen pilihan raya negeri itu yang sedang berjalan sekarang.
Dalam kedaifan umat seperti ini katanya, para pemimpin hidup dalam keadaan mewah luarbiasa termasuk di negara kita sekarang.
“Pemimpin seperti Najib kini sedang dibongkar oleh pelbagai media dan penyiasat seluruh dunia berkenaan skandal 1MDB yang menyalahguna wang negara secara yang amat memalukan.
“Dari cara shopping isteri, majlis bertunang dan kahwin anak hinggalah penggunaan kemudahan negara untuk main golf sampai ke Hawaii semuanya satu cara hidup yang sama sekali tidak boleh diterima walaupun oleh negara-negara kaya di dunia,” katanya.
Beliau memberi contoh Perdana Menteri Iceland yang baru-baru ini meletak jawatan apabila ‘Panama Papers” melaporkan isterinya memiliki akaun luar pesisir (offshore) yang meragukan.
“Begitu juga Perdana Menteri Turki baru-baru ini terpaksa mengumumkan di parlimen beliau membayar balik perbelanjaan percutian yang dibayar dari wang kerajaan,” katanya.
Mohd Sabu yang berucap di program jelajah Selamatkan Malaysia di Bandar baru Tunjung, Kota Bharu berkata sebab itu bila Tun Dr. Mahathir Mohamad berkempen untuk menjatuhkan Najib beliau terus menyokong.
“Bagi saya menyokong usaha jatuhkan Najib adalah wajib,” di sambut laungan takbir ribuan pendengar yang hadir.
Turut hadir ialah Adun Salor yang juga Pengerusi Gerakan Selamatkan Malaysia peringkat negeri Kelantan, Dato’ Husam Musa, Adun Batu Burok, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ketua MPN PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir, Tokoh Umno, Dato’ Sazmi Miah, bekas ahli Pas, Tamrin Tun Ghafar dan beberapa tokoh pelbagai parti dan NGO.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Mukhriz Mahathir yang dijadualkan hadir tidak dapat bersama kerana dimaklumkan atas masalah teknikal.