DAP mengakhiri malam terakhir kempen PRN ke-11 Sarawak dengan satu iltizam: menumbangkan kerajaan BN Sarawak pada pilihanraya 2021.
Ia mampu dicapai jika DAP berjaya memenangi beberapa kerusi Dayak pada pilihan raya kali ini, kata pemimpin besarnya, Lim Kit Siang.
“Jika kami berjaya mencapai matlamat ini, maka DAP Sarawak sudah bersedia untuk menjadikan PRN seterusnya sebagai medan mengakhiri enam dekad pemerintahan BN, dan menggantikannya dengan kerajaan DAP atau gabungan yang diketuai DAP,” katanya di hadapan kira-kira 5000 hadirin di Pusat Komersial Boulevard, di sini malam tadi.
DAP bertanding di 31 kerusi DUN kali ini, termasuk 16 kerusi majoriti Dayak, iaitu Mulu, Murum, Samalaju, Kemena, Ngemah, Pakan, Tasik Biru, Mambong, Kedup, Bukit Semuja, Bukit Goram, Katibas.
Kerusi ini biasanya ditandingi PKR, lalu membawa kepada pertembungan dengan rakan Pakatan Harapan di enam DUN.
Sambutan yang hambar menandai sepanjang tempoh kempen, namun pada malam akhir tempoh berkempen, warga Miri akhirnya keluar untuk mendengar ceramah terakhir daripada parti-parti bertanding.
Sebaik tiba, Lim Kit Siang bersama-sama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said naik ke pentas dan menerima sorakan hebat para hadirin yang majoritinya etnik Cina.
Sementara itu, sejumlah 500 menghadiri ceramah BN – jumlah yang boleh dikatakan baik selepas mengambil kira jumlah kehadiran di ceramah-ceramah mereka sepanjang tempoh berkempen.
Satu-satunya penyandang dari BN, Datuk Lee Kim Shin dijangka berdepan tentangan sengit daripada dua calon Dayak, Dr Bob Baru (DAP) dan Philemon John Endau (PBDS Baru) untuk mempertahankan Senadin.
Calon langsung BN, Hii King Chiong dan lawannya, Ting Tiong Choon dari DAP keduanya berpeluang cerah untuk memenangi kerusi Pujut.
Di Piasau pula, penyandang dari DAP Alan Ling akan berhadapan calon SUPP yang juga setiausaha agung parti itu, Datuk Sebastian Ting.
Tepat jam 12 malam, tempoh kempen secara rasminya tamat dan kesemua pusat mengundi akan dibuka jam 8 pagi.