PAS perlu sambut pelawaan YAB Datuk Seri Azmin Ali Timbalan Presiden PKR untuk PAS kembali menyertai Pakatan Pembangkang bersama dengan PKR, DAP dan AMANAH, kata bekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar.
Katanya, pelawaan Azmin tersebut ikhlas selepas melihat kesan dari kekalahan pembangkang dalam PRN ke 11 Serawak selepas pertembungan sesama sendiri.
“Walaupun itu bukan lah asas pokok yang menyebabkan kekalahan pembangkang tetapi cukup menyumbang mesej kecelaruan kepada pengundi dan rakyat seluruhnya.
“Parti parti pembangkang perlu kembali kepada meja perbincangan melalui satu pakatan yang boleh memberi harapan baru yang meyakinkan rakyat untuk perubahan masa depan Malaysia dengan merendahkan ego masing masing dan melihat kehadapan yang rakyat mahukan perubahan bermula dengan penyatuan dan kesepakatan parti pembangkang yang meyakinkan.
“Tawaran Azmin kepada PAS sejujurnya saya katakan ingin melihat krisis negara yang makin kritikal ini perlu ditamatkan dengan pengembelingan suara dan kuasa rakyat dari pelbagai latar belakang ideologi politik dan NGO dalam satu Pakatan yang mampu meletakan kembali Malaysia pada landasan yang betul dengan kemajuan yang bebas dari kemungkaran politik salah guna kuasa pemimpin serta kemungkaran ekonomi bebas dari rasuah dan penyelewengan wang negara dan membawa kepada pembaharuan dasar ekonomi yang meringankan beban kos sara hidup rakyat,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, rakyat mengimpikan Pakatan Pembangkang yang benar meyakinkan mereka sebagai kerajaan menunggu. Maka sewajarnyalah Pemimpin Parti Politik Pembangkang berpemikiran Malaysia dan jauhi dari pemikiran sempit yang boleh dilihat oleh rakyat sebagai parti politik yang hanya memikirkan kepentingan parti sendiri sahaja.
“Saya sangat mengharapkan pimpinan PAS akan menyambut baik pelawaan Azmin demi Malaysia dan rakyat untuk bersama dalam satu pakatan pembangkang PAS, PKR,DAP dan AMANAH serta parti parti lain dan NGO.
“Kepada semua pemimpin parti parti politik saya mengharapkan dapat merendahkan ego,meninggikan akal mencari panduan, meneguhkan pegangan dan menggenggam keazaman untuk perubahan Demi rakyat dan Malaysia tercinta,” katanya lagi.