Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor biarpun tidak berjaya dilakukan oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) di Dewan Negeri Selangor hari ini akibat tidak disokong oleh wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) namun perbahasan telah berjaya membongkar salah laku kerajaan persekutuan yang ditabdir BN dalam memperleceh dan menghina institusi raja-raja Melayu
Pendedahan ADUN Seri Muda Suhaimi Shafie terhadap penderhakaan Umno terhadap institusi raja-raja Melayu telah membuat wakil Umno-BN di Dewan Negeri senyap serta tidak mampu memberikan memberi hujah balas.
Biarpun begitu wakil rakyat BN tetap enggan menyokong pindaan rang undang-undang bagi mengembalikan kedaulatan Sultan Selangor dalam melantik pegawai tadbir negeri. Oleh yang demikian Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berasa kesal dengan sikap wakil rakyat BN tersebut.
“Kami kesal dengan keputusan wakil-wakil BN kerana menolak pindaan ini walaupun gagal memberi hujah-hujah yang bernas atau berkualiti untuk menolak cadangan. Tiada satu pun hujah yang dikemukakan oleh pihak kita dijawab dengan baik oleh mereka
“Penolakan BN adalah penolakan berasaskan politik . Keputusan mereka membelakangkan keputusan rakyat. Umno sama sekali tidak menghormati institusi raja-raja Melayu dan menghalang raja-raja Melayu memainkan peranan dalam melantik pegawai pentadbiran,” kata Khalid dalam sidang medianya di bangunan Dewan Negeri petang tadi.
Beliau menolak alasan kerajaan persekutuan yang mempertikaikan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Menteri Besar dalam prosidur melantik Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri.
“MB telah dinyatakan dalam manual diberi kuasa memilih . Mereka (pusat) persoalkan MB membuat pilihan . Cara MB PR terbuka, buat kajian dan analisis dengan melantik jawatankuasa. Kuasa telah diberi kepada MB, jadi terpulanglah sama ada MB ingin melantik satu, dua atau tiga jawatankuasa sekali pun,” bidasnya.
Bagi Khalid, biar pun tidak berjaya dalam pindaan itu namun semua wakil PR telah memberikan perbahasan yang baik. PR telah berjaya mencatat sejarah dalam usaha menjadikan pentadbiran di Selangor lebih profesional dengan berusaha mewujudkan pengasingan kuasa antara perundangan, eksekutif dan legislatif.
Kegagalan berkenaan, menurut Khlaid, akan menguatkan semangat PR untuk bekerja keras dalam pilihan raya berikutnya memperbanyakkan lagi kerusi DUN di Dewan Negeri bagi merealisasikan pindaan pada masa depan.
“Ia tidak mematahkan semangat kita. Malah akan menguatkan tekad PR untuk buktikan wibawa kami dengan mempertingkatkan kerja kuat pada pilihanraya ke 13 bagi mendapat bilangan kerusi (majoriti) 2/3 di Dewan Negeri agar pindaan ini menjadi kenyataan,” tegas Khalid.