Pakatan Harapan mengakui kekecewaan pengundi di Sarawak akibat pertembungan di enam kerusi menyebabkan kekalahan teruk mereka dalam PRN 7 Mei lalu.
Sebuhungan itu mesyuarat Majlis Presiden PH yang dihadiri Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam mengarahkan satu post mortem dibuat secara menyeluruh.
“Kami telah menetapkan bahawa satu penilaian yang tulus ikhlas (honest evaluation) dilakukan. Dalam hal ini, ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan telah memulakan post-mortem pada peringkat parti masing-masing.
“Selanjutnya, Majlis Presiden akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh masa terdekat untuk mengenalpasti kesalahan, mengatasi segala kekurangan tersebut dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membetulkan dan memperbaiki organisasi dan strategi kami khususnya untuk berhadapan dengan gelanggang yang lebih besar, iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
“Kami juga mendengar segala pandangan, keluhan dan kritikan daripada rakyat, pengundi, pekerja parti, penyokong, sukarelawan, calon dan pimpinan, serta pelbagai pihak lain, tentang persediaan, perjalanan dan prestasi kami dalam pilihan raya ini,” kata ketiga-tiga mereka dalam satu kenyataan.
Selain itu, Majlis Presiden juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada rakyat Sarawak yang telah mengundi calon-calon daripada parti-parti dalam Pakatan Harapan, iaitu KEADILAN, DAP dan Amanah, di pilihan raya Sarawak .
“Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli parti, penyokong dan sukarelawan yang telah bekerja keras dan bertungkus lumus membantu calon-calon kami.
“Perjuangan menegakkan kebebasan, kebenaran dan keadilan, serta melaksanakan perubahan bukanlah mudah. Di sebalik segala cabaran yang dihadapi ini, kami tidak akan berputus asa. Sebaliknya, kami bertekad untuk berkumpul-semula (re-group) dan memfokus-semula (re-focus) serta meningkatkan iltizam untuk meneruskan perjuangan ini demi rakyat Malaysia,” kata mereka lagi.