Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah hari ini mengesahkan meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah.
“Peletakan jawatan ini hanya melibatkan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan sahaja dan saya masih kekal sebagai ahli Pas, ketua cawangan Pas Taman Sri Putra dan Adun Pas kawasan Anak Bukit, ” kata beliau dalam satu kenyataan yang disahkan setiausaha Amanah Kedah melalui status facebooknya.
Menurut Amiruddin, beliau dengan penuh rasa berat hati, maklumkan bahawa satu surat peletakan jawatan telah dihantar kepada setiausaha Pas kawasan, saudara Rashidi Razak semalam (9/5/16).
“Rasional kenapa tindakan ini dambil telah saya jelaskan sepenuhnya kepada Pesuruhjaya Pas Kedah,” katanya
Menurutnya, perjalanan sebagai Adun Pas Anak Bukit akan dpantau sepenuhnya oleh jawatankuasa pusat khidmat wakil rakyat Anak Bukit dan saya telah dan akan terus memberi kerjasama kepada mereka.
Peletakan jawatan ini katanya tidak ada kaitan langsung dengan cadangan untuk melompat ke mana-mana parti politik lain dan saya akan terus menjadi ahli Pas dan berada di tepian gelanggang dan berdoa agar suatu hari nanti jika kudrat dan situasi mengizinkan untuk kembali bersama-sama sahabat-sahabat lain menerajui tampuk pimpinan setidak-tidaknya di peringkat kawasan atau negeri.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah yang telah memberi tunjuk ajar dan berkongsi ukhuwwah selama bertugas di pelbagai peringkat parti di Kedah.
“Mohon keampunan atas keterlanjuran dan kekhilafan untuk sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan agar saya sentiasa istiqamah bersama perjuangan Islam sehingga akhir hayat,” kata kenyataan itu.