Tun Dr Mahathir Mohamad masih optimis dan yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat ditumbangkan di kerusi Parlimennya sendiri walaupun langkah tersebut dilihat suatu yang sukar dilaksana.
Bekas perdana menteri itu sekali lagi mengulangi gesaan supaya ahli Umno tidak mengundi Najib di Pekan jika mahu negara diselamatkan.
“Kita akan tentukan kekalahan Najib. Walaupun untuk mengalahkannya kita terpaksa untuk mengalahkan BN (Barisan Nasional), tapi kalau kita bijak, kita akan kalahkan dia di Pekan.
“Kita boleh kalahkan Najib di Pekan. Kita kalahkan dia di situ. Orang Umno jangan undi dia di situ. Ini adalah strategi tapi tidak mudah untuk kita laksanakan,” kata Dr Mahathir dalam program anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) di Nilai semalam.
Dr Mahathir berkata negara sepatutnya sudah hampir menjadi sebuah negara maju bagaimanapun Najib menghancurkannya sehingga nama Umno menjadi busuk dikalangan rakyat.
“Saya yakin kita boleh selamatkan negara ini.
“Seperti yang kita dapati sekarang, negara ini sudah hampir kepada negara maju. Ini semua oleh kerana diterajui oleh Umno. Tetapi sekarang ini nama Umno sekarang ini sudah begitu busuk,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, salah satu punca Deklarasi Rakyat dilancarkan oleh beliau bertujuan untuk menyelamatkan negara daripada menuju kehancuran dan menggesa supaya orang ramai menandatanganinya lagi walaupun sasaran 1 juta tandatangan sudah tercapai.
“Oleh itu saya minta semua tandatangan deklarasi. Biarpun kita sudah dapat lebih dari sejuta, kita teruskan usaha kita. Supaya berjuta rakyat Malaysia minta Najib berundur dari jawatan Perdana Menteri,” katanya.