Pemuda Amanah Negeri Selangor mahu Pakatan Harapan mencadangkan agar calon dari Amanah bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Besar dalam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Ketua Pemudanya, Abbas Azmi berkata, Amanah mempunyai calon yang sesuai untuk bertanding melawan BN dan Pas di Sungai Besar.
” Amanah mempunyai beberapa nama calon yang kesemuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kami percaya akan diterima oleh rakyat setempat.
“Sewajarnya calon Amanah diberi laluan untuk mewakili Pakatan Harapan pada PRK ini
“Kami bersedia apa juga kemungkinan sama ada bertemu dua penjuru atau tiga penjuru pada pilihanraya kecil kali ini dan dengan izin Allah jua, Amanah akan memberi satu tamparan yang hebat pada calon dari parti lawan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Abbas berkata Pemuda Amanah negeri itu sudahpun menggerak kerja bertemu masyarakat dan pengundi.
“Kita telah pun lakukan edaran bantuan makanan asas ke rumah fakir miskin, edaran flyers bagi memperkenalkan misi dan visi parti dan akan diperbanyakkan lagi program kemasyarakatan.
Setakat hari ini Pas menegaskan akan meletakkan calon untuk bertanding di kedua-dua kerusi yang didakwa menjadi milik tradisinya iaitu Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Ini bermakna, parti itu menolak sebarang perundingan dengan Pakatan Harapan walaupun Amanah dilapor telah menyatakan kesudian untuk berbincang dengan Pas bagi mengelak pertembungan sesama parti pembangkang.
Parlimen Sungai Besar sebelum ini diwakili Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, manakala Parlimen Kuala Kangsar diwakili Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, kedua-duanya dari BN.
Kedua-dua mereka antara yang maut dalam tragedi helikopter terhempas ketika penerbangan dari Betong ke Kuching, Sarawak pada 5 Mei lalu.