Masyarakat Cina di Sarawak telah ditipu oleh Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem kerana beliau tidak melantik timbalannya dari kaum Cina seperti yang dijanjikan, ujar Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
“Saya rasa masyarakat Cina, terutama sekali pengundi Batu Kawah telah ditipu. Tidak sampai seminggu, dan tentunya, pengkhianatan ke atas pengundi Batu Kawah oleh Adenan,” Chong memberitahu Malaysiakini.
Borneo Post sebelum ini melaporkan Adenan, semasa berkempen di Batu Kawah pada pilihan raya negeri Sarawak, menawarkan kerusi timbalan ketua menteri dari bangsa Cina jika mereka menyokong SUPP.
Bagaimanapun, selepas pilihan raya, akhbar berbahasa Inggeris memetik Adenan sebagai berkata walaupun beliau gembira undi Cina kembali kepada BN, namun terpulang kepadanya untuk melantik timbalan Cina atau tidak.
Diminta mengulas mengenai barisan kabinet Adenan itu, Chong berkata, tiada apa yang berubah dari zaman ketika Gabenor Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud menerajui pentadbiran negeri.
“Tiada apa yang berubah, cuma satu atau dua muka baru,” jelas beliau.