Penalis forum ‘Deklarasi: Mana Pergi Rakyat’, pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin telah membaca surat dari bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disambut dengan laungan reformasi bergema di majlis tersebut.
“Setiap perjuangan selalu melahirkan sejumlah pengkhianat dan para penjilat. Jangan kau gusar, saudaraku.
“Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang. Jangan kau kecewa, saudaraku.”
“Fokus kita untuk tumbangkan Umno dan Barisan Nasional,” katanya lagi, lantas disambut laungan kuat ‘Reformasi’ oleh para hadirin yang kebanyakannya menentang usaha Deklarasi Rakyat.
Laungan tersebut berterusan untuk beberapa ketika, sehingga menenggelamkan penjelasan seorang lagi ahli Panel, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang menegaskan Deklarasi Rakyat tidak menghalang usaha menjatuhkan kerajaan.
Surat bertulis tangan itu dikatakan menyentuh penglibatan dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Tun Mahathir Mohamad.
Forum itu menampilkan Khalid berserta bekas pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga dan bekas timbalan ketua Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai pihak yang menyokong Deklarasi Rakyat. Manakala Chegubard, bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan peguam Haris Ibrahim sebagai pihak yang menentang.
Bagi Haris, beliau menentang deklarasi tersebut bukan kerana tidak bersetuju dengan isi kandungannya, tetapi kerana khuatir dengan agenda di sebaliknya yang disifatkannya hanya untuk menyelamatkan Umno dan BN.
“Saya tidak percaya usaha yang dipimpin Mahathir dan lihat ia tidak akan dapat mencapai reformasi yang diingini rakyat… Yang perlu digulingkan adalah Umno-BN (dan bukan hanya Najib).
“Selagi ia tidak berlaku, jangan harap reformasi akan berlaku,” katanya lantas disambut tepukan gemuruh 300 hadirin.
Khalid mengecam hujah pihak yang menentang yang menurutnya ‘mengungkit hal yang telah berlalu’ sehingga menghalang sebarang kerjasama dengan pihak lain.
“Memang dia (Mahathir) ada agenda, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh atasinya (dengan agenda kita). Saya bimbang dengan tanggapan sebegini,” katanya lagi.
Arutchelvan pula menyifatkan Deklarasi Rakyat yang dikatakan ingin menyatukan pihak yang tidak bersetuju dengan Najib akhirnya memecah-belahkan Pakatan Harapan sendiri.
“Kehadiran Mahathir telah memecahkan kita. PKR dan DAP pecah dua, masyarakat sivil berpecah lagi banyak,” katanya, yang turut mengecam usaha itu yang disifatkan dibuat secara tergesa-gesa dan melibatkan segolongan kecil tokoh sahaja.
“Deklarasi rakyat tidak mengubah apa-apa, ia hanya menghancurkan kita,”katanya.
Forum lebih dua jam itu panas dengan hujah barisan ahli panel serta sorakan hadirin, sehingga menyebabkan penganjur terpaksa mencelah untuk meminta semua yang pihak untuk bertenang.