Biarpun media arus perdana menguar-uarkan ekonomi negara sedang berkembang pesat, namun angka Retail Trade Index (RTI) yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) baru-baru ini menunjukkan penurunan yang tidak sewajarnya.
Angka RTI menurun sebanyak 19.5 mata dan kini berada pada paras 65.9. Ia sepatutnya berada pada paras 100 mata untuk menunjukkan keyakinan pengguna berbelanja. Penurunan 19.5 mata adalah satu kemerosotan yang mendadak dan telah menunjukkan dengan jelas bahawa rakyat semakin tidak yakin terhadap situasi ekonomi negara.
Menurut seorang usahawan tempatan yang memiliki sebuah kilang di Selangor, ketidaktentuan dalam iklim ekonomi sedunia diburukkan lagi dengan kadar 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan menjadi penyebab mengapa angka penjualan barangan yang bukan keperluan terutamanya perabot, pakaian yang berjenama dan lain-lain merudum.
“Sekarang orang kurang pergi ke restoran mahal. Cuma pada hari-hari seperti harijadi atau Hari Ibu dan Hari Bapa sahaja orang akan makan di sana. Restoran-restoran tersebut juga telah mengalami penurunan dalam kadar keuntungan. Kebanyakan rakyat dari golongan bergaji rendah atau keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah sudah lama ikat perut,” katanya yang enggan disiarkan nama.
Beliau berpendapat sekiarnya kerajaan lambat bertindak menurunkan kos sara hidup maka ekonomi negara akan terus merosot dan rakyat akan terus ditekan dalam isu perbelanjaan harian.
“Ini tentu akan mengagalkan matlamat negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti,” hujahnya.